94 KRT serta projek rintis pemerkasaan ekonomi

Aaron (dua dari kiri) selepas melancarkan Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai di KRT Ivory 1, Bandar Tasik Puteri, Rawang pada Isnin.
Aaron (dua dari kiri) selepas melancarkan Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai di KRT Ivory 1, Bandar Tasik Puteri, Rawang pada Isnin.
A
A
A

RAWANG - Sebanyak 94 kawasan rukun tetangga (KRT) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan terlibat dalam Program Pemerkasaan Ekonomi KRT.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, projek menerusi kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan BioLestari bertujuan membantu komuniti KRT menjana pendapatan.

Menurutnya, projek rintis tersebut akan dilaksanakan selama tiga bulan menerusi pemantauan kementerian dan BioLestari sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

"Usaha ini dapat membantu mengurangkan beban golongan yang terjejas dengan kos sara hidup yang meningkat.

"Ia juga selari dengan seruan Kerajaan Perpaduan untuk membantu rakyat yang terkesan berikutan ekonomi global yang dijangka serius tahun ini," katanya selepas melancarkan Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai di KRT Ivory 1, Bandar Tasik Puteri di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Noridah Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Norison Ramli.

Ujar beliau, antara projek yang tersenarai di bawah program pemerkasaan tersebut termasuk kebun komuniti, kraftangan, ternakan, katering, jahitan dan produk makanan.

Beliau turut menyarankan KRT meningkatkan kreativiti dalam meneroka peluang serta program berimpak tinggi sejajar dengan fokus kementerian untuk membangunkan 'Komuniti Rahmah'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!