Keputusan bantahan awal petisyen Parlimen Marang 12 Februari
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Pilihan Raya di sini pada Isnin menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh keputusan bantahan awal responden terhadap petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh UMNO terhadap kawasan Parlimen Marang.
Hakim Pilihan Raya, Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan tersebut selepas mendengar beberapa hujah bantahan awal yang dikemukakan pihak responden dan hujahan balas pihak pempetisyen dalam prosiding yang bermula kira-kira jam 11 pagi.
Peguam yang mewakili Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya telah memasukkan beberapa perkara melibatkan persoalan undang-undang dan prosedur dalam hujah bantahan awal itu.
Menurut Takiyuddin, mahkamah turut meminta kedua-dua pihak iaitu responden dan pempetisyen memasukkan hujah dan fakta tambahan yang telah ditentukan mahkamah sebelum 6 Februari.
"Sekiranya bantahan awal kami diterima, tiada perbicaraan akan berlangsung namun jika ditolak, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan bagi petisyen ini," katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah pada Isnin
Dalam prosiding itu, pihak pempetisyen diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Pada 16 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Petisyen melibatkan tiga kawasan itu difailkan pada 3 Januari, mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pada PRU15, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mewakili BN serta tiga calon lain yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman, tewas kepada calon Pas, Che Alias Hamid yang menang dengan majoriti 27,179 undi.
Abdul Hadi pula mengekalkan kemenangannya di Marang dengan majoriti 41,729 undi, manakala Parlimen Kuala Terengganu kekal disandang Datuk Amzad Hashim (Pas) yang memperoleh majoriti 40,907 undi menewaskan tiga calon lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!