Kor Ming tidak perlu melenting - Mahdzir
JOHOR BAHRU - Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak perlu melenting terhadap pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan 'mengimport' pakar daripada agensi perumahan Singapura untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia.
Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim berkata, perkara itu sewajarnya dibincangkan di setiap peringkat kerana dilihat sensitif dan dalam isu tersebut rakyat juga adalah pemegang taruh utama.
"Menteri kenalah bersabar dan bertenang menanggapi kritikan tersebut. Mungkin Kor Ming terlupa atau terlepas pandang, dalam DAP ada seorang ahli yang pakar dalam perancang bandar atau 'town planning iaitu Prof Dr Tajuddin Rasdi.
"Beliau seorang arkitek yang sangat berpengalaman, baik dalam bidang akademik mahupun industri perumahan. Beliau juga telah membuat kajian dan menerbitkan banyak buku mengenai isu ini.
"Namun, mengapa Kor Ming sebagai pemimpin DAP tidak menggunakan khidmat Prof Tajuddin yang juga ahli DAP dan pakar dalam bidangnya? Adakah kerana dia tidak cukup 'DAP' seperti Kor Ming," soalnya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Kor Ming mengumumkan kerajaan Singapura bersetuju menghantar beberapa pakar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bulan depan untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia dalam usaha memantapkan lagi sektor pembinaan perumahan awam negara.
Langkah itu, jelas beliau adalah antara komitmennya untuk memberi tumpuan khusus kepada sektor perumahan, selain menyatakan kesediaan untuk mempelajari daripada negara lain.
Ini termasuk dari Jepun dan China sebagai langkah mereformasi sektor perumahan negara.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Malaysia mempunyai banyak agensi yang mempunyai pengalaman dalam mengurus masalah perumahan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (Prima), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Uda Holdings Berhad, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).
Penyelaras Parlimen Parit Sulong itu berkata, langkah Kor Ming membawa masuk pakar asing secara tidak langsung seolah-olah tidak yakin dan tidak mengiktiraf pakar serta agensi tempatan.
Tambahnya, sekalipun agensi terbabit dilihat tidak cukup mahir atau ada kelemahan, proses penambahbaikan adalah jalan terbaik untuk dilakukan dan bukan membawa masuk agensi asing sebagai jalan pintas.
"Selain agensi yang ada, kita juga mempunyai agensi yang boleh membantu mengurus isu perumahan ini dari dasarnya seperti Khazanah Research Institute (KRI). Agensi ini adalah sebuah pusat kajian untuk ekonomi dan pembangunan yang sudah membuat dan menerbitkan banyak hasil kajian dan teruji dalam bidang pembangunan ekonomi dan sosial negara," katanya.
Justeru ujar Mahdzir, sewajarnya agensi seperti KRI digunakan untuk membantu kementerian dan agensi sedia ada dalam mengurus dan menambah baik masalah berkenaan.
"Maka soalannya mengapa instrumen yang kita telah ada ini tidak dimanfaatkan? Apakah HDB Singapura ini lebih memahami sosial ekonomi rakyat negara ini berbanding pakar tempatan di KRI," soalnya lagi.
Beliau enggan bercakap tentang agenda terselindung di sebalik usaha berkenaan kerana baginya semua itu hanya cakap-cakap politik.
Tambahnya, Kor Ming harus menjelaskan kepada rakyat apa kelebihan HDB Singapura berbanding pakar-pakar dan agensi dalam negara, sekiranya tidak dijelaskan, dakwaan negatif terhadap tindakannya itu akan dianggap benar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!