Lelaki Thailand hilang tiga hari lalu ditemukan lemas
TANAH MERAH - Seorang lelaki warga Thailand yang dikhuatiri hilang sejak tiga hari lalu ditemukan lemas di Sungai Golok berhampiran Kampung Bendang Besar, Pengkalan Jagong di sini pada Isnin.
Mayat Othman Sapie, 59, ditemukan jam 9.58 pagi pada jarak 800 meter dari lokasi dia dipercayai hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Disagar Mani Mustafa berkata, mayat mangsa ditemukan oleh anggota bertugas yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama orang awam di tepi tebing sungai tersebut.
"Mayat diserahkan kepada pihak polis Thailand pada jam 10.17 pagi," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Menurut beliau, SAR untuk mengesan mangsa telah dilakukan sejak Sabtu lalu.
Ujarnya, pencarian di permukaan (surface searching) menggunakan sembilan bot sehingga 10 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilihat lemas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!