Wanita daki Bukit Tabur bersendirian dikhuatiri sesat

Seorang wanita dikhuatiri sesat ketika mendaki Bukit Tabur pada awal pagi Ahad. - Foto Bernama
Seorang wanita dikhuatiri sesat ketika mendaki Bukit Tabur pada awal pagi Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

AMPANG - Seorang wanita dikhuatiri sesat ketika mendaki bersendirian di Bukit Tabur pada awal pagi Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, operasi pencarian mangsa berusia 26 tahun itu masih diteruskan sehingga kini.

Menurutnya, bapa mangsa telah menghubungi pihak bomba dan hadir ke balai polis berhampiran bagi memaklumkan kejadian sebelum operasi pencarian dijalankan.

"Komander operasi telah membuat pencarian sekitar check point 1 dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Maklumat awal diterima mangsa naik ke Bukit Tabur dari Tabur East jam 7 pagi. Mangsa sempat menghubungi adiknya mengatakan beliau tersesat di suatu kawasan di Bukit Tabur serta menghantar lokasi terakhir melalui aplikasi WhatsApp sekitar jam 11 pagi Ahad," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, pakaian terakhir dipakai mangsa adalah baju berwarna hitam dengan seluar legging merah dan beg biru.

"Pihak polis menemui kereta mangsa di kaki Bukit Tabur timur berhampiran pintu masuk empangan.

"Pasukan penyelamat juga telah menghampiri Puncak 12 namun mangsa masih belum berjaya dikesan dan tidak dapat dihubungi," katanya.

Ujarnya, khidmat dron dan anjing pengesan (K9) turut digunakan bagi operasi pencarian tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!