Gelombang hijau bukan ancaman kepada PH Pulau Pinang
GEORGETOWN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin 'gelombang hijau' bukan lagi ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang apatah lagi mampu menawan negeri ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Ketua Penerangannya, Amir Ghazali berkata, kemenangan tiga kerusi Parlimen semasa Pilihan Raya Umun ke-15 (PRU15) bukanlah ukuran kekuatan sebenar Perikatan Nasional (PN) kerana keadaan latar PRU dan PRN adalah berbeza.
Menurutnya, pembangkang kekurangan modal untuk melemahkan kerajaan Pulau Pinang memandangkan pimpinan diketuai Ketua Menteri, Chow Kon Yew tidak mengorbankan hak kepentingan orang Melayu sepanjang pentadbirannya.
“Bukan setakat itu sahaja, kerajaan negeri Pulau Pinang tetap komited untuk memastikan keadilan sosial serta nasib orang Melayu terbela dan tidak dipinggirkan daripada arus permodenan.
“Saya difahamkan Parti Gerakan mempunyai niat yang sama untuk merampas balik kerajaan Pulau Pinang. Namun saya di sini ingin menegaskan kedudukan demografi dan populasi penduduk Pulau Pinang yang (terdiri daripada) pelbagai etnik tahu dan sedar siapakah Parti Gerakan yang rekodnya sangat buruk selama memerintah Pulau Pinang berbanding kerajaan ketika ini," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa PN akan menawan negeri PH termasuk 'menggoncang' Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Amir berkata PKR Pulau Pinang tidak gentar dengan gelombang hijau walaupun kerusi Permatang Pauh yang juga kubu kuat telah jatuh ke tangan PN.
Katanya, selain itu, isu yang bersifat perkauman dan sentimen agama di negeri ini sudah tidak relevan lagi untuk dimainkan oleh pihak pembangkang.
“Kalah di Permatang Pauh tidak bermakna kita sudah dianggap lemah. Sebaliknya, kita akan bangkit untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya yang telah dicuri oleh pengkhianat, juga tidak terkecuali di kawasan DUN yang lain.
“Berasaskan pada data-data dan statistik komposisi penduduk di Pulau Pinang, diyakini tiada apa-apa masalah yang boleh menggugat kerajaan PH.
“Ini turut juga diakui oleh pengamal politik serta penganalisis politik yang menganggap rekod baik kerajaan Pulau Pinang amat sukar untuk ditembusi oleh parti lawan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!