'Saya ditendang bertubi-tubi'

Seorang tukang masak perempuan mendedahkan dia ditendang bertubi-tubi di bahagian badan oleh seorang lelaki yang mengamuk dalam kejadian di sebuah masjid di Pulau Melaka, Kota Bharu pada Ahad.
Seorang tukang masak perempuan mendedahkan dia ditendang bertubi-tubi di bahagian badan oleh seorang lelaki yang mengamuk dalam kejadian di sebuah masjid di Pulau Melaka, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang tukang masak perempuan mendedahkan dia ditendang bertubi-tubi di bahagian badan oleh seorang lelaki yang mengamuk dalam kejadian di sebuah masjid di Pulau Melaka di sini pada Ahad.

Wan Fadilah Wan Abdullah, 57, yang sudah 15 tahun berkhidmat di kantin Maahad Darul Anuar berkata, dia tidak pernah berasa sakit seperti itu selepas diperlakukan sedemikian.

"Semasa kejadian saya hendak pulang selepas selesai kerja pada jam 6.30 petang.

"Ketika menunggang motosikal melalui satu laluan sempit di antara masjid dan maahad, saya melihat seorang lelaki berpakaian kemas sedang melakukan gerakan seakan-akan seperti bersilat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut ibu kepada 10 anak itu, awalnya dia menyangka pelajar-pelajar sedang berlatih silat, namun pelik kerana hanya lelaki itu yang berbuat demikian di tengah laman tersebut.

"Pelajar-pelajar di situ kemudian tiba-tiba menjerit minta saya melarikan diri.

"Lelaki itu pula meluru ke arah saya dan menendang motosikal sekuat hati dengan kaki tanpa berselipar ataupun kasut," katanya.

Wan Fadilah memberitahu, dia kemudian terjatuh dan ditendang bertubi-tubi di bahagian belakang, telinga, kepala dan bahu.

"Sambil menangis menahan kesakitan saya menjerit...kenapa buat macam ini...kenapa buat macam ini.

"Kemudian lelaki itu beralih arah kepada pelajar-pelajar yang cuba datang menyelamatkan saya.

"Seorang pelajar telah membantu saya bangun dan salah seorang ustaz yang kebetulan rumahnya terletak berhampiran minta saya berlindung di dalam rumahnya buat sementara waktu sebelum polis tiba," katanya.

Wan Fadilah berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang patah tulang selepas membuat pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) walaupun ditendang bertubi-tubi.

Menurutnya, dia baru empat hari bekerja selepas ditahan di hospital selama 10 hari akibat darah tinggi dan kencing manis.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki kurang siuman maut dipercayai dipukul sekumpulan pelajar di sebuah masjid di Pulau Melaka di sini pada Ahad.

Seorang tenaga pengajar yang enggan dikenali berkata, kejadian tersebut berlaku apabila lelaki berkenaan mengamuk dan kemudian membakar jubah milik pelajar serta mengganggu mereka.

"Pada masa yang sama lelaki itu telah bertindak memukul seorang tukang masak wanita berusia 60-an yang kebetulan melalui kawasan kejadian," katanya kepada Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!