Malaysia bakal bangunkan vaksin manusia

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai hari ini melibatkan tiga pihak di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan (NIBM) bagi meneroka potensi projek pembangunan ekosistem vaksin tempatan, demi kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pandemik pada masa depan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan pertukaran MoU itu melibatkan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), MVP Healthcare Sdn Bhd dan Pfizer Malaysia Sdn Bhd dengan disaksikan oleh menterinya Chang Lih Kang.

"Usaha ini juga membolehkan Malaysia mengembangkan kerjasama antarabangsa dan mengenal pasti bidang yang berpotensi untuk diperkukuh, dipromosikan dan dibangunkan dalam kerjasama strategik berasaskan manfaat bersama, selaras dengan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN),” menurut kenyataan itu.

Langkah itu juga selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di bawah Teras Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan.

Pada 1 November 2021, kerajaan memberi mandat kepada NIBM-MGVI untuk menyelaras usaha dan kerjasama dalam bidang penyelidikan serta pembangunan vaksin manusia.

Pfizer dan MVP Healthcare telah menzahirkan sokongan terhadap visi itu dengan mengenal pasti bidang kerjasama untuk diteroka dalam pembentukan ekosistem vaksin negara seperti di dalam PPVN bagi mencapai aspirasi Malaysia sebagai negara pengeluar vaksin manusia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!