Dua warga emas maut, tak sempat elak van hilang kawalan
BERUAS - Dua warga emas maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 10, Jalan Beruas-Ipoh berhampiran Kampung Dendang di sini pada Isnin.
Dalam kejadian jam 9.05 pagi itu, wanita berusia 64 tahun yang memandu Perodua Kelisa serta penumpang belakang, lelaki berusia 77 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua lagi penumpang, lelaki berusia 70 tahun dan seorang wanita berusia 53 tahun mengalami kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintenden Chong Boo Khim berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki keempat-empat mangsa bergerak dari arah Simpang Tiga, Parit ke Beruas.
"Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah van jenis Nissan dipandu seorang wanita berusia 35 tahun dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
"Akibat terlalu dekat, kereta terbabit tidak sempat mengelak lalu terlanggar menyebabkan dua mangsa maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, pemandu van tersebut mengalami cedera ringan.
"Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan lanjut manakala mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik untuk dibedah siasat.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Nur Athira Ramlan di talian 018-9702345 bagi membantu siasatan," katanya.
Boo Khim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!