[VIDEO] ‘Jangan sekadar melukut di tepi gantang’
SHAH ALAM- Kedudukan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor masih berisiko walaupun bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) jika masih terus mengharapkan kepada kawasan majoriti Melayu.
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, walaupun UMNO dan BN berpeluang menjadi kerajaan dengan kerjasama itu, apa yang menjadi kebimbangan besar adalah berapa jumlah kerusi yang akan dimenangi parti keramat itu.
“Pada pandangan peribadi saya, bila bekerjasama dengan PH ini, memang UMNO atau BN berpeluang jadi kerajaan. Tetapi berapa banyak kerusi UMNO boleh menang? Kalau menang dua, tiga kerusi, pada akhirnya kita akan menjadi melukut di tepi gantang.
“Jadi, saya bimbang kalau tak kena gaya, kalau agihan kerusi UMNO hanya bergantung pada kerusi majoriti Melayu seperti Sungai Burong, Sungai Panjang dan Sungai Tawar yang kita menang, saya bimbang UMNO tinggal berapa kerusi sahaja.
“Bila UMNO bersama DAP, saya bimbang dengan semangat Mat Kilau masih membara lagi, silap hari bulan, yang dulunya kawasan majoriti Melayu yang menjadi kubu kuat UMNO selama ini, mungkin akan berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika menjadi tetamu program Sinar Live bertajuk Dipecat UMNO: Lawan atau Move On? yang dikendalikan hos, Hazwan Mokhtar dan disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.
Bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu menambah, di Selangor seboleh-bolehnya dielakkan pertandingan tiga penjuru.
“Kalau bertembung tiga penjuru, memang habis, susah UMNO nak menang sebab kebanyakan kerusi di Selangor adalah kerusi campuran. Berdasarkan pengalaman saya bertanding selama enam penggal, saya tengok kalau tak betul-betul susun, amat bahaya.
“Sebab itu semasa Muafakat Nasional (MN), saya lihat memang dapat berfungsi di Selangor. Contohnya apabila kita buat Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2019.
“Sebelum ini kita kalah banyak. Kalau campur undi UMNO dan Pas pun masih kalah. Tapi atas semangat MN semasa PRK Semenyih, siapa sangka UMNO boleh menang. Saya sudah nampak kebangkitan UMNO itu bermula di Semenyih.
“Sebab itu saya menyokong MN sebab di Selangor, saya lihat kena ada semangat perpaduan yang kuat. Kalau tidak, UMNO akan habis. Itu salah satu sebab saya kurang disenangi,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!