Peniaga kecewa lesen penjaja dibatal serta-merta
PORT DICKSON - Seramai 10 peniaga di Pusat Penjaja Bergerak, Pantai Saujana, Batu 4, Jalan Pantai disini kecewa apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan lesen penjaja tahunan mereka.
Malah lesen berkenaan yang diberikan sebelum ini terbatal serta-merta pada 26 Januari lepas iaitu dari tarikh surat pemakluman mengenai pembatalan lesen itu diterima kepada mereka.
Pengerusi penjaja kawasan itu, Mohd Hafiz Shuid berkata, mereka telah berniaga di tapak itu lebih dari 10 tahun dan ketika ini telah mempunyai ramai pelanggan selain ia merupakan tempat tarikan pelancong.
"Apa yang kami kesalkan adalah tiada isu berbangkit malah kawasan itu telah kami naik taraf menjadi lebih baik dengan mengeluarkan wang sendiri kira-kira RM20,000 pada tahun 2016 sekali gus memberi keselesaan kepada pelanggan sehingga kini.
"Kami hanya mahu berniaga kerana ini merupakan punca pendapatan kami, sekiranya lesen dibatalkan di mana kami hendak berniaga," katanya kepada pemberita di lokasi pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi Kipidap Malaysia Berhad (KKMB) yang juga merupakan aktivis sosial, Abdul Rani Kulup Abdullah dan Setiausaha KKMB, Mejar (B) Razali Zakaria.
Mohd Hafiz berkata, mereka yang mempunyai lesen penjaja bergerak itu menjalankan perniagaan menggunakan 'food truck' dan bas bergerak diubahsuai.
Katanya, peniaga diarahkan untuk membuat permohonan baharu iaitu mengisi semula borang permohonan lesen penjaja bergerak.
"Arahan itu tidak adil kerana kami difahamkan akan ada pemilihan dengan permohonan baharu. Lesen sebelum ini dikeluarkan untuk setahun sebagaimana perjanjian dalam mesyuarat dengan ahli majlis yang lama dengan kehadiran pelbagai agensi.
"Kami memohon pihak berkuasa supaya pembatalan lesen itu dapat dipertimbangkan semula atas sebab-sebab yang telah kami jelaskan ini," katanya.
Sementara itu, Abdul Rani yang mewakili suara peniaga tersebut memaklumkan satu memorandum akan dihantar kepada Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa mengenai perkara tersebut.
"Harap isu ini dapat diselesaikan secara baik kerana peniaga di sini hanya ingin mencari rezeki dan meneruskan kehidupan masing-masing selepas bergelut dengan masalah kewangan sejak pandemik Covid-19," katanya.
Memorandum berkenaan juga akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun merangkap Ahli Parlimen Port Dickson.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!