Lantikan jawatan dalam kerajaan disepakati: Mujahid
IPOH - Pembahagian lantikan jawatan-jawatan dalam kerajaan antara disepakati Majlis Perundingan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Perak yang bermesyuarat, Sabtu lepas.
Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, mesyuarat kali kedua melibatkan majlis perundingan itu antara lain membincangkan lantikan wakil parti kalangan ahli majlis, jawatankuasa kampung dan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurutnya, proses perbincangan lantikan yang mengambil kira kuota antara parti pemerintah itu berjalan mengikut persefahaman bersama.
"Kita sudah ada formula yang disepakati bersama, setiap parti sudah buat homework masing-masing dan di peringkat majlis perundingan ini, kita hanya maklum apa perkembangan.
"Dalam mesyuarat kita setuju untuk pastikan sebelum Mac, semua urusan pelantikan ini dapat diselesaikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Mujahid berkata, mesyuarat yang dipengerusikan bersama Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu turut bersetuju menjadikan majlis perundingan tersebut sebagai platform perbincangan yang lebih telus antara parti.
Katanya, gabungan parti dalam kerajaan itu masih memerlukan inisiatif-inisiatif lain untuk pastikan dapat berada pada tahap yang sama dan pemikiran yang selaras.
"Lebih utama kita nak pastikan hubungan PH-BN itu berterusan dan tidak diganggu.
"Dari segi persefahaman ada, kekuatan mempertahankan kerajaan Perak juga ada dan itu juga sebagai janji kepada Sultan Perak.
"Maka untuk mencapainya, tidak ada cara lain selain memupuk hubungan baik dan pastikan dasar-dasar kerajaan dapat turun ke akar umbi dan dirasai rakyat," katanya.
Majlis Perundingan PH-BN Perak diwujudkan selari dengan pembentukan kerajaan negeri sebagai simbolik komitmen kedua-dua parti menjunjung titah Sultan Perak supaya kestabilan politik disuburkan demi menjamin kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Selain pengerusi, majlis berkenaan juga dianggotai ketua wanita, ketua pemuda dan ketua penerangan setiap parti.
Kerajaan Perak terbentuk melalui jajaran 33 kerusi sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing terdiri daripada PH dengan 24 kerusi dan BN sembilan kerusi dengan persetujuan melantik Saarani sebagai Menteri Besar.
Manakala Perikatan Nasional (PN) dianggotai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh 26 kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!