Kematian Sri Ram: Tommy minta masa lantik peguam baharu
KUALA LUMPUR - Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas akan melantik peguam baharu untuk mewakilinya dalam kes saman pemula terhadap Pasukan Petugas Khas dan Kerajaan Malaysia susulan kematian peguam beliau, Datuk Seri Gopal Sri Ram, pada Ahad.
Sri Ram, 79, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, meninggal dunia, dipercayai akibat jangkitan paru-paru, di sebuah hospital swasta, di sini.
Saman itu difailkan Tommy pada 27 Oktober tahun lepas dengan mendakwa laporan siasatan berhubung kandungan memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’ adalah tidak sah dan melanggar undang-undang.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, ketika dihubungi berkata. peguam yang hadir bagi pihak plaintif (Tommy) memohon masa sebulan untuk melantik peguam baharu.
"Mahkamah menetapkan 27 Februari ini untuk pengurusan kes bagi plaintif memaklumkan status terkini mengenai pelantikan peguamnya," kata Shamsul selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh secara dalam talian, pada Isnin.
Tommy, selaku plaintif, memfailkan saman itu dengan menamakan Pengerusi Pasukan Petugas Khas, Datuk Seri Fong Joo Chung, enam ahli pasukan itu dan kerajaan sebagai defendan.
Selain Joo Chung, ahli pasukan petugas itu ialah Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamaruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K. Balaguru,Farah Adura Hamidi dan Mohd Najib Surip.
Dalam saman pemula itu, Tommy berkata, penerbitan laporan itu melanggar Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan dan/atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain memohon deklarasi bahawa penerbitan laporan itu oleh kerajaan, melanggar haknya terhadap reputasinya seperti yang dilindungi oleh Perkara 5(1) dan 13(1) Perlembagaan Persekutuan.
Buku tulisan bekas peguam negara itu diterbitkan pada Januari 2021 dengan pelbagai kontroversi, menyebabkan Kabinet pada 8 Oktober 2021 menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan kajian awal ke atas pendedahan terkandung dalam buku tersebut.
Pada 13 Oktober tahun lalu, kerajaan menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas itu, antara lain mengesyorkan supaya Tommy disiasat atas kemungkinan pelbagai kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!