RM2.98 juta bagi pembinaan Medan Selera MBSJ SS19

Johary (tiga dari kanan) pada Majlis Pecah Tanah Medan Selera MBSJ SS19 pada Isnin.
Johary (tiga dari kanan) pada Majlis Pecah Tanah Medan Selera MBSJ SS19 pada Isnin.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperuntukan sebanyak RM2.98 juta bagi projek pembinaan Medan Selera MBSJ SS19 di atas tanah berkeluasan 0.7 hektar.

Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar berkata, projek tersebut telah dimulakan sejak 8 Disember lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober depan.

Menurutnya, medan selera itu bakal dilengkapi 20 unit gerai serta kemudahan awam seperti tandas, surau serta tempat letak kereta.

"Usaha memajukan golongan usahawan bandar raya ini bukan hanya tertumpu kepada satu lokasi sahaja tetapi MBSJ turut menyediakan ruang perniagaan medan selera di kawasan lain.

"Jumlah kemudahan medan selera yang disediakan di Subang Jaya adalah sebanyak 194 unit gerai, Puchong (180 unit) dan Seri Kembangan (103 unit)," katanya pada Majlis Pecah Tanah Medan Selera MBSJ SS19 pada Isnin.

Ujarnya, selain daripada pembinaan semula medan selera tersebut, MBSJ telah merangka sebanyak 39 projek utama untuk dilaksanakan bagi tahun 2023 membabitkan kos perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM125.4 juta.

Katanya, antara projek-projek tersebut adalah pembinaan semula Medan Selera Taman Tasik Sri Serdang; membina Balai Masyarakat di Jalan PUJ 3/3,Taman Puncak Jalil dan pembinaan pasar sementara di Jalan PUJ 3/2, Taman Puncak Jalil.

"Turut dirancang adalah menyediakan persimpangan bertingkat di Persimpangan Persiaran Kewajipan dengan Persiaran Subang Permai bagi melancarkan penyuraian trafik.

"Projek tersebut dianggarkan menelan belanja sebanyak RM30 juta dan dijangka siap pada tahun 2028," katanya.

Beliau berharap projek yang akan dijalankan serta kemudahan dan naik taraf fasiliti yang bakal disediakan dapat memberikan menfaat kepada seluruh komuniti.

Ia sekali gus menyokong visi MBSJ bagi dalam menjadi sebuah bandar raya yang mampan, kota niaga serta kediaman idaman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!