Malaysia-Singapura kerjasama ekonomi digital, keselamatan siber

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Singapura pada Isnin menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital.

MoU itu ditandatangani Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan rakan sejawatnya Josephine Teo bagi pihak Singapura yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong di The Istana, Singapura.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam kenyataan pada Isnin berkata, ia susulan persetujuan kedua-dua negara pada Oktober 2018 untuk meneroka kerjasama dalam ketiga-tiga bidang berkenaan.

Kementerian telah bersetuju dengan cadangan tersebut manakala proses mengemas kini serta merangkumkan bidang kerjasama dalam MoU berkenaan dimulakan selepas itu, katanya.

KKD menjelaskan, antara bidang kerjasama dalam perlindungan data peribadi adalah bertukar-tukar pengetahuan dan kepakaran berhubung amalan terbaik mengenai dasar dan peraturan perlindungan data peribadi, program pendidikan dan pembinaan kapasiti, dan usaha penguatkuasaan serta mempermudah mekanisme bagi menggalakkan aliran data rentas sempadan.

"Kerjasama berkenaan turut meliputi pembangunan dan pelaksanaan Mekanisme Aliran Data Rentas Sempadan ASEAN di bawah Rangka Kerja ASEAN Mengenai Tadbir Urus Data Digital dan pertukaran maklumat mengenai potensi atau perlindungan data rentas sempadan sedang dilaksanakan, atau insiden atau penyiasatan do-not-call membabitkan individu atau organisasi,” katanya.

Selain itu, kerjasama tersebut turut melibatkan pembangunan inisiatif bersama dalam kalangan peserta untuk membolehkan industri bekerjasama dalam inovasi berpacukan data.

Sementara itu, KKD berkata, kerjasama dalam bidang keselamatan siber merangkumi pertukaran pengetahuan dan kepakaran mengenai amalan terbaik, penyelarasan dan organisasi aktiviti pembinaan kapasiti keselamatan siber serta pertukaran maklumat mengenai analisa, pengalaman dan panduan mengenai serangan siber dan insiden keselamatan siber, kebimbangan atau ancaman.

"Ia turut termasuk melantik sebuah agensi peneraju keselamatan siber negara yang diberikan kuasa oleh setiap peserta bagi tujuan mewujudkan Meja Bulat Keselamatan Siber Malaysia-Singapura tahunan,” katanya.

Mengenai ekonomi digital, kementerian menjelaskan, perjanjian itu melibatkan pertukaran maklumat mengenai amalan terbaik, dasar dan peraturan termasuk digitalisasi, piawaian yang boleh dikendalikan dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan teknologi lejar teragih seperti blockchain.

Kerjasama berkenaan turut meliputi menggalakkan dan menyokong pertumbuhan perdagangan elektronik, ekonomi digital dan piawaian yang boleh dikendalikan, termasuk, namun tidak terhad kepada tandatangan dan pengesahan elektronik, rekod boleh dipindah milik elektronik dan rangka kerja invois elektronik, katanya.

Menurut KKD, MoU dalam bidang maklumat dan komunikasi antara kedua-dua kerajaan telah ditandatangani oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura ketika lawatan menteri berkenaan ke Malaysia pada 19 Februari 2016.

"MoU itu telah berkuat kuasa selepas tarikh ia ditandatangani dan akan kekal berkuat kuasa untuk tempoh 5+5 tahun sehingga Februari 2026, terutamanya meliputi kerjasama dalam bidang media dan maklumat,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!