Aceh sekadar persinggahan pelarian Rohingya?

Pendaratan bot Rohingya di pantai Lamnga pada 8 Januari lalu dipenuhi wanita dan kanak-kanak.
Pendaratan bot Rohingya di pantai Lamnga pada 8 Januari lalu dipenuhi wanita dan kanak-kanak.
A
A
A

BANDA ACEH - Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, wilayah Aceh sering menjadi lokasi pendaratan bagi bot-bot membawa pelarian etnik Rohingya dari Bangladesh.

Malah, bilangan pelarian yang mendarat di pantai Aceh menunjukkan peningkatan signifikan sepanjang tahun lalu dan awal 2023.

Difahamkan, jumlah pendaratan sepanjang November 2022 sehingga Januari 2023 sudah melampaui jumlah kedatangan sepanjang 2020 (395 orang) dan 2021 (186 orang).

Dan jika sebelum ini penghijrahan bahaya menerusi jalan laut dikuasai lelaki namun, kini ia menunjukkan trend berbeza apabila bot-bot yang berjaya dipintas atau ditunda ke daratan didominasi wanita dan kanak-kanak.

Menurut statistik dikeluarkan Direktorat Siasatan Jenayah Am Daerah Aceh, sejak 2015 sehingga tahun ini terdapat sekurang-kurangnya lapan kawasan pendaratan bot-bot pelarian Rohingya.

Lapan kawasan itu meliputi daerah Aceh Besar, Pidie, Bireun, Aceh Utara, Lhokseumawe, Aceh Timur, Langsa dan Aceh Tamiang.

Bagi menampung kehadiran pelarian Rohingya, pihak berkuasa tempatan di Aceh menyediakan tiga lokasi untuk dijadikan sebagai kem penempatan sementara iaitu bekas pejabat imigresen di Lhokseumawe, Gudang Mina Raya Padang Tiji dan Ladong.

Jumlah keseluruhan pelarian Rohingya di ketiga-tiga penempatan itu mencecah 530 orang dengan Ladong menampung jumlah pelarian terbanyak (241 orang).

Jadi pusat transit?

Peningkatan jumlah pelarian Rohingya yang tiba di Aceh bukanlah satu kebetulan, malah ia seperti sudah dirancang.

Memetik kenyataan Ketua Suruhanjaya I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Aceh, Iskandar Usman Alfarlaki yang menyebut bahawa pendaratan demi pendaratan bot-bot membawa pelarian Rohingya seperti didalangi pihak berkepentingan.

Susulan itu beliau meminta pihak berkuasa dan pemerintah Indonesia menyiasat bagi memastikan wilayah dengan jolokan nama Tanah Rencong itu tidak dijadikan tempat transit pelarian atau ‘orang bot’.

Beberapa wanita Rohingya yang berjaya diberkas semula selepas melarikan diri dari pusat penempatan di Pidie baru-baru ini.
Beberapa wanita Rohingya yang berjaya diberkas semula selepas melarikan diri dari pusat penempatan di Pidie baru-baru ini.

"Jika mengambil kira aspek kemanusiaan, pemerintah perlu memberikan perlindungan kepada mereka, namun pada masa pihak berwajib termasuk Kementerian Dalam Negeri harus menyiasat punca pelarian Rohingya sering terkandas di Aceh.

"Persoalannya sekarang ialah apakah mereka benar-benar mahu mencari suaka politik atau hanya menjadikan Aceh sebagai zon transit untuk memasuki Malaysia?

Menurut Iskandar, insiden pelarian Rohingya melarikan diri selepas dihantar ke pusat penempatan sementara memberi petunjuk bahawa kedatangan mereka mungkin sudah diatur oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Beliau turut memberitahu bahawa pelarian Rohingya yang terkandas di Aceh sering memberi alasan sama iaitu bot dinaiki kehabisan bahan bakar menyebabkan mereka hanyut di tengah lautan selama berbulan-bulan.

Lari dari Aceh

Tindakan pelarian Rohingya melarikan diri dari pusat penempatan sementara bukanlah perkara baharu di Aceh.

Insiden itu memang kerap berlaku kerana majoriti pelarian Rohingya enggan tinggal secara kekal di Indonesia sebaliknya mahu menuju ke negara jiran yang dianggap stabil daripada segi ekonomi.

Awal bulan lalu sahaja, hampir 100 pelarian Rohingya dilaporkan melarikan diri dari pusat perlindungan sementara di Lhokseumawe, iaitu merupakan kejadian ketujuh yang berlaku sejak 13 Disember 2022.

Dalam pada itu, Ketua Hubungan Masyarakat Lhokseumawe, Marzuki menyatakan pihak berkuasa tempatan sudah berkali-kali meminta kerajaan pusat supaya segera memindahkan pelarian tersebut ke pusat perlindungan kekal.

Katanya, langkah itu perlu bagi mengelakkan insiden meloloskan diri daripada berulang kerana, ada dalam kalangan pelarian tersebut berhasrat mencari kerja di negara jiran berhampiran, terutamanya Malaysia.

Ceroboh Malaysia sepanjang tahun Pelarian Rohingya dikesan menceroboh masuk ke Malaysia sepanjang tahun berikutan faktor senang untuk ‘cari makan’ atau mencari pekerjaan.

Bagi mengelak daripada dicekup, mereka sanggup mengaku sebagai pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Beberapa penduduk di Lhokseumawe menggesa pihak berkuasa memindahkan pelarian Rohingya di daerah itu ke kawasan lain kerana didakwa tidak menghormati budaya setempat dan sukar diatur.
Beberapa penduduk di Lhokseumawe menggesa pihak berkuasa memindahkan pelarian Rohingya di daerah itu ke kawasan lain kerana didakwa tidak menghormati budaya setempat dan sukar diatur.

Difahamkan, pelarian Rohingya memasuki sempadan Malaysia melalui Kedah di Langkawi dan juga Kelantan melalui Sungai Golok yang mana mereka akan dibawa masuk oleh tekong.

Sebaik memasuki sempadan negara, pelarian Rohingya akan menggunakan jalan tikus bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Apa pun, upah lumayan dipercayai antara penyebab utama aktiviti penyeludupan etnik Rohingya ke Malaysia sukar dibanteras kerana sindiket menawarkan antara RM200 hingga RM400 bagi seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya diseludup.

Tawaran upah lumayan ini menyebabkan ada individu sama ada di Aceh atau pun di Malaysia tidak menghiraukan undang-undang sehingga sanggup bersekongkol dengan sindiket pemerdagangan manusia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!