Ipoh bandar paling murah bagi pendidikan antarabangsa

Rumaizi menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat MBI di sini pada Selasa. Gambar kecil: RUMAIZI
Rumaizi menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat MBI di sini pada Selasa. Gambar kecil: RUMAIZI
A
A
A

IPOH - Bandaraya Ipoh buat pertama kalinya menerima gelaran sebagai bandar paling murah di Asia dan dunia bagi persekolahan antarabangsa pada 2022 oleh Pangkalan Data Sekolah Antarabangsa (ISD), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, bandar raya itu tersenarai bersama 19 bandar-bandar lain di Asia dengan China terus mendominasi sebagai negara paling mahal di Asia untuk sekolah antarabangsa.

Menurutnya, kos bagi sekolah antarabangsa di Ipoh di antara AS$2,316 hingga AS$3,065 setahun berbanding bandar paling mahal di Asia, Beijing yang berjulat dari AS$10,000 hingga hampir AS$40,000 setahun.

"Ipoh ialah bandar baharu yang termasuk dalam penyelidikan terbaru ISD dan telah diberi gelaran lokasi paling murah di Asia manakala kos sekolah antarabangsa dari ibu negara Kemboja Phnom Penh pula menduduki tempat kedua terendah kali ini.

"Daripada 20 bandar yang termasuk dalam analisis ISD Asia, 16 daripadanya mempunyai harga di bawah AS$15,000 setahun iaitu Taipei, Yangon, Bangkok, Kyoto-Osaka-Kobe, Pattaya, Chiang Mai, Phuket, Manila, Johor Bahru, Bali, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Phnom Penh dan Ipoh," katanya ketika berucap sempena Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Januari 2023 di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pada Selasa.

Rumaizi berkata, Malaysia dan Thailand merupakan negara paling berpatutan di Asia melibatkan kos pendidikan antarabangsa.

Jelasnya, tiga bandar di Thailand iaitu Pattaya, Chiang Mai dan Phuket serta empat bandar di Malaysia iaitu Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh termasuk dalam 10 lokasi paling murah di benua Asia.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi berkata, MBI merekodkan pencapaian hasil bagi tahun 2022, berjumlah RM234.83 juta atau bersamaan 106 peratus berbanding sasaran bajet iaitu RM221 juta.

Katanya, prestasi kutipan hasil pada tahun 2022 pula berjumlah RM229.07 juta atau 104 peratus berbanding sasaran bajet iaitu RM221 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!