Batal lesen penjaja: MPPD laksana penyusunan semula peniaga
PORT DICKSON - Pembatalan lesen penjaja tahunan peniaga di Pusat Penjaja Bergerak Pantai Saujana Batu 4 Jalan Pantai di sini dilaksanakan bagi penyusunan semula peniaga di tapak itu mengikut nombor petak yang ditetapkan dan keceriaan tapak oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Yang Di Pertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, ia susulan terdapat perkara berbangkit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan MPPD dijalankan pada Jun tahun lepas.
"Justeru, pemeriksaan bancian di lokasi telah dilakukan dan dimaklumkan terdapat enam peniaga berlesen berniaga di lokasi, manakala satu peniaga dipercayai berniaga tanpa lesen sah serta tidak mempamerkan lesen perniagaan.
"Hasil siasatan mendapati kebanyakan peniaga tidak mengikut nombor petak ditetapkan dan terdapat peniaga yang melanggar syarat-syarat lesen penjaja bergerak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di MPPD, di sini.
Katanya, pelanggaran itu termasuk menggunakan kenderaan yang tidak dibenarkan, meletakkan kerusi dan meja tambahan serta meninggalkan peralatan dan kenderaan di lokasi selepas waktu operasi perniagaan.
"Pada Julai lalu, notis langgar syarat lesen MPPD telah diserahkan kepada peniaga berkenaan, namun sebahagian mereka tidak berpuas hati dengan notis serta garis panduan diberikan.
"Pada awal Januari lalu, pemeriksaan pematuhan syarat-syarat lesen telah dijalankan susulan notis dikeluarkan oleh MPPD sebelum ini dan mendapati tujuh peniaga berlesen manakala dua peniaga dipercayai berniaga tanpa lesen sah serta tidak mempamerkan lesen perniagaan.
"Hasil pemeriksaan turut mendapati kebanyakan peniaga masih tidak mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan seperti pemeriksaan dijalankan sebelum ini kecuali hanya dua peniaga penjaja bergerak yang mematuhi syarat-syarat lesen," katanya.
Jelasnya, surat pemakluman pembatalan lesen penjaja tahunan telah diberikan kepada peniaga terlibat dan mereka diminta membuat permohonan baru iaitu mengisi borang permohonan lesen penjaja bergerak.
"Borang tersebut boleh didapati melalui kaunter Jabatan Perlesenan MPPD, Tingkat 2,Terminal Bas Port Dickson dan tarikh tutup penghantaran borang itu selewat-lewatnya sebelum atau pada 3 Februari ini jam 12 tengahari.
"Bagaimanapun, keutamaan akan diberikan kepada peniaga tersebut untuk berniaga di situ dengan syarat mereka perlu mematuhi syarat lesen penjaja bergerak serta tertakluk kepada Undang-Undang Kecil Penjaja MPPD 1982," katanya.
Mohd Zamri berkata, pemantauan secara berterusan akan dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasa MPPD untuk memastikan peniaga di kawasan tersebut mematuhi syarat lesen penjaja bergerak ditetapkan oleh MPPD serta kawalan peniaga tanpa lesen.
"Kita juga bercadang akan menyemak semula serta menambah baik syarat-syarat lesen penjaja bergerak di kawasan operasi MPPD dan Pantai Saujana serta cadangan untuk menyediakan pelekat khusus untuk kenderaan bergerak," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan seramai 10 peniaga di Pusat Penjaja Bergerak, Pantai Saujana, Batu 4, Jalan Pantai di sini kecewa apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan lesen penjaja tahunan mereka.
Malah lesen berkenaan yang diberikan sebelum ini terbatal serta-merta pada 26 Januari lepas iaitu dari tarikh surat pemakluman mengenai pembatalan lesen itu diterima kepada mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!