Lazada agih sumbangan bernilai RM50,000 kepada mangsa banjir
SHAH ALAM - Lazada Malaysia menerusi inisiatif impak sosial Lazada Teman You menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas bernilai lebih RM50,000 kepada keluarga di Kelantan yang terjejas akibat banjir.
Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pertubuhan Pengguna dan Trafik, Lazada Malaysia, Rick Ting berkata, walaupun banjir musim tengkujuh telah sedikit reda, namun impak banjir masih ketara.
“Inisiatif bantuan banjir Lazada Teman You adalah selaras dengan fokus memperkasakan komuniti, ia merupakan salah satu teras utama kemampanan alam sekitar, sosial dan tata kelola Lazada.
“Diharapkan agar daya usaha ini dapat menyumbang ke arah usaha pemulihan pasca banjir, khususnya bagi keluarga yang bertungkus-lumus membina semula kehidupan mereka lantaran kehilangan dan kerosakan teruk harta benda,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas Rick, antara barangan yang diberikan adalah seperti beras, makanan dalam tin, minyak masak, lampin pakai buang dan pelbagai keperluan lain.
Sumbangan itu diagihkan kepada keluarga di daerah Pasir Puteh dan Bachok.
Turut hadir menyampaikan barangan keperluan itu adalah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.
Lazada Teman You berkolaborasi bersama Bulan Sabit Merah Malaysia, mengumpul dana sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada komuniti yang terkesan akibat banjir khususnya di Kelantan dan Johor.
Dalam pada itu, Lazada turut memadankan sumbangan tersebut dengan dana tambahan sebanyak RM100,000 bagi membantu penerima bantuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!