Mayat tangan, kaki berikat: Dua lelaki didakwa membunuh

Mojibur yang memakai baju T biru muda dan Visvanathan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa.
Mojibur yang memakai baju T biru muda dan Visvanathan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa.
A
A
A

SELAYANG - Dua lelaki termasuk seorang warganegara Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas tuduhan membunuh seorang kenalan mereka, hujung Disember tahun lalu.

Buruh kilang besi, MD Mojibur Rahman, 30, dan penganggur warga tempatan, K Visvanathan, 57, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Hafizah Rajuni.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan pembunuhan, menyebabkan kematian ke atas seorang lelaki warganegara Bangladesh yang bekerja sebagai jurukimpal, Khalek Sheikh, 41.

Kesalahan didakwa dilakukan di tepi Jalan Bestari Jaya - Rawang, Batu Arang di sini, antara jam 9 hingga 9.40 malam, 29 Disember tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi.

Sementara Visvanathan diwakili pelatih dalam kamar, Goh Jia Yee manakala Mojibur tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin dan menetapkan 5 April depan untuk laporan kimia serta bedah siasat.

Pada 30 Disember tahun lalu, Sinar Harian melaporkan satu mayat ditemui di tepi Jalan Bestari Jaya-Rawang di sini, pada Jumaat dalam keadaan tangan dan kaki berikat.

Pihak polis memaklumkan, hasil pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati tangan dan kaki telah diikat dengan tali selain terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!