Skor Indeks Persepsi Rasuah Malaysia merosot kepada 47 mata
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun 2022 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) terus merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara.
Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, daripada 53 pada 2019, skor negara telah jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lepas.
“Penurunan signifikan secara statistik ini menunjukkan bahawa kita menuju ke arah yang salah dalam memerangi rasuah, mendukung hak asasi manusia dan demokrasi di sektor awam,” katanya ketika membentangkan keputusan CPI 2022 di ibu negara pada Selasa.
CPI menggunakan skala di mana 0 dianggap sangat korup dan 100 dianggap sangat bersih.
Muhammad berkata, negara-negara Skandinavia terus mendominasi kedudukan indeks dengan Denmark, Finland, Norway dan Sweden antara 10 negara teratas atau terbersih bersama dengan New Zealand dan Singapura dari rantau Asia Pasifik.
“Di kedudukan terbawah indeks, prestasi terburuk adalah Venezuela, Syria, Sudan Selatan dan Somalia,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut memberikan sebab mengapa skor negara terus merosot antaranya disebabkan kurangnya kemahuan politik dalam memerangi rasuah institusi.
“Contohnya semasa pandemik Covid-19, seperti anda ketahui terdapat banyak pengumuman pakej rangsangan tanpa perdebatan di Parlimen.
“Lantikan politik yang tidak layak untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.
“Keengganan untuk mengatasi kos berlebihan dengan tegas seperti kapal tempur pesisir (LCS),” jelasnya.
Beliau juga mengkritik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan tidak guna mengungkit perkara lalu berhubung isu LCS.
“Dengan menyatakan tidak guna mengungkit, saya rasa itu tidak betul. Skor ini juga tidak akan bertambah baik.
“Percayalah pada saya, tahun depan anda datang, kita akan bercakap perkara yang sama,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, terdapat juga perkembangan positif seperti pendakwaan dalam kes rasuah antarabangsa SRC International Sdn Bhd yang membuktikan kebebasan institusi kehakiman.
Perkara lain yang baik katanya adalah memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dipimpin oleh Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH).
“Antara dalam perkara ini adalah kelulusan kelayakan mengundi pada usia 18 dan pendaftaran pengundian automatik di samping anti lompat parti,” ujarnya.
Selain itu tambahnya, pengumuman positif lain apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan tadbir urus baik, memerangi rasuah dan kebebasan kehakiman dikenal pasti sebagai isu teras.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!