Syor 10 cadangan tambah baik Pemuda UMNO

Armand Azha
Armand Azha
A
A
A

SHAH ALAM - Calon bakal bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan akan datang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengemukakan 10 cadangan bagi penambahbaikan sayap pemuda parti tersebut.

Antaranya adalah melaksanakan penaziran kekuatan pemuda bahagian setiap tiga bulan, program bersepadu di setiap bahagian secara berkala dan mewujudkan Koperasi Pemuda Malaysia di setiap bahagian untuk aktiviti ekonomi mampan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar pemuda UMNO meningkat jalinan hubungan dengan institusi berdaftar melibatkan pendidikan formal dan tidak formal termasuk kemahiran.

Bagi anak muda yang berpotensi pula, Armand berkata, satu pelan perlu disediakan kepada kumpulan tersebut setelah melalui proses pendedahan dengan kerjasama agensi kerajaan bagi membawa perniagaan mereka dari peringkat jalanan ke global.

“Cadangan seterusnya adalah mewujudkan institusi pemikir muda daripada kalangan korporat muda untuk memimpin kemajuan industri desa dan bandar anak muda setiap bahagian dan cawangan.

“Selain itu, dana khas anak muda yang dikumpul untuk bantuan segera pemuda juga perlu diusahakan. Seterusnya, Akademi Kapten Hussien boleh diwujudkan kembali bagi penglibatan orang muda non-partisan yang ingin tahu mengenai hala tuju UMNO

“Kemudian, Pemuda UMNO juga perlu menjadi platform melahirkan tokoh muda berwibawa kental dan memperjuangkan hak bangsa melayu bercakap benar dan ampuh. Terakhir dan paling utama adalah persediaan gerak kerja ke arah Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac ini.

Armand berkata, jika diberikan mandat memegang jawatan tersebut, beliau akan menjalankan tanggungjawab hakiki untuk mempertahankan parti tersebut dengan memastikan laungan ‘Hebatkan Pemuda’ difahami di seluruh peringkat sama ada di luar mahupun dalam parti.

“‘Hebatkan Pemuda’ akan lebih dinamik dan progresif tanpa meninggalkan asas kekuatan UMNO. Kembalikan perjuangan yang moderate yang diterima oleh rakyat Malaysia.

“‘Hebatkan Pemuda’ akan pastikan menerap semangat ‘Harimau Perjuangan UMNO’ yang berani, digeruni, ikhlas dan dihormati oleh parti mahupun pihak lawan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!