33 warga emas antara 450 individu ditahan edar, salah guna dadah
KUANTAN - Seramai 33 penagih tegar dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan seorang remaja 14 tahun antara 450 individu ditahan hasil serbuan ke atas 28 sarang penagih dadah dalam Ops Tapis Khas Semalaysia 2023 di negeri ini, minggu lalu.
Dalam operasi khas selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Januari lalu itu, pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat keseluruhan lebih 1.1 kilogram dan 107.63 liter air ketum berjaya dirampas.
Turut dirampas wang tunai RM400 dan sebuah motosikal dengan keseluruhan nilai rampasan lebih RM34,000.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang itu, seramai 35 pengedar atau tokan dadah dan 12 individu dikehendaki antara yang ditahan.
Menurutnya, operasi melibatkan 297 serbuan dan 532 pemeriksaan di seluruh Pahang melibatkan lokasi di kawasan bandar, tanah rancangan Felda dan kawasan perumahan.
"Berdasarkan pecahan tangkapan, seramai lapan individu ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 atas kesalahan mengedar dadah dan 27 tangkapan kerana memiliki bahan terlarang itu di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 39(A)(1) akta sama.
"Turut ditahan 77 individu di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 (1 tangkapan), Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (52 tangkapan), Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (285 tangkapan) dan 49 tangkapan mengikut Seksyen 39C ADB 1952," katanya pada sidang akhbar Ops Khas itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.
Ramli berkata, tangkapan tertinggi melibatkan individu berusia 25 hingga 34 tahun (170 tangkapan) diikuti lingkungan usia 35 hingga 40 tahun (114 tangkapan), 41 hingga 60 tahun (86 tangkapan), 19 hingga 24 tahun (43 tangkapan),60 tahun ke atas (33 tangkapan) dan empat tangkapan melibatkan remaja bawah umur.
"Kebanyakan individu ditahan penagih dalam kalangan buruh, penganggur dan ada juga seorang penjawat awam kakitangan hospital serta warga asing.
"Bagi remaja bawah umur termasuk seorang berusia 14 tahun yang ditahan kerana mengambil air ketum didapati tidak bersekolah," jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya mendapati selain kawasan ladang kelapa sawit, golongan penagih juga turut menggunakan premis bengkel dan rumah di kawasan perumahan sebagai sarang penagihan.
Menurutnya, daripada keseluruhan sarang penagihan yang dikesan, empat daripadanya telah dibersihkan manakala selebihnya akan diambil tindakan sama.
Sementara itu katanya, bekalan dadah untuk golongan penagih di negeri ini dipercayai dari luar termasuk Lembah Kelang dan tiada lagi kes memproses dadah dikesan di Pahang setakat ini.
"Sebagai peringatan terutama bagi 'kaki ketum' mereka diingatkan agar menghentikan tabiat itu atau berdepan hukuman lebih berat selepas pindaan terhadap Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 diluluskan.
"Melalui pindaan itu, hukuman bagi kesalahan tersebut ditingkatkan dengan denda sehingga RM100,000 berbanding hanya RM10,000 sebelum ini manakala penjara daripada empat tahun kepada lima tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!