'Siasat dakwaan komen pemain hoki berbaur perkauman'
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta Majlis Sukan Negara (MSN) menjalankan siasatan berhubung komen seorang pemain hoki wanita negara yang didakwa berbaur perkauman.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beliau turut meminta MSN mendapatkan maklumat daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi membantu siasatan mengenai perkara tersebut.
"Setelah saya mendapat pandangan daripada MSN kita akan buat keputusan. Jadi hari ini (Selasa) MSN akan bincang dengan KHM, saya juga telah maklumkan kepada Datuk Seri Subahan Kamal (Presiden KHM)," katanya pada sidang media Sesi Townhall Bersama Industri Sukan di Menara KBS di sini pada Selasa.
Pagi ini tular di media sosial mengenai satu akaun Instagram dipercayai milik pemain hoki wanita negara itu, yang didakwa meninggalkan komen berbaur perkauman pada ruangan hantaran berkaitan konsert penyanyi dan komposer legenda dari India di ibu negara baru-baru ini.
Menyedari komen beliau itu disalah tafsir sehingga mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan netizen, akaun yang menggunakan nama @niezhanis itu juga telah memuat naik permohonan maaf di laman Instagram Story pada Selasa.
"Saya Hanis Nadiah Onn pemain hoki negara dengan penuh rasa rendah diri dan tanggungjawab memohon maaf di atas satu hantaran komen yang dimuat naik secara sedar oleh saya pada 28 Januari lepas," tulisnya.
Beliau juga mengakui sedar akan implikasi komen tersebut membuatkan ramai pihak terkesan dan telah mengambil tindakan untuk memadam komen tersebut.
"Sepanjang penglibatan saya selama 10 tahun dalam sukan hoki, persekitaran saya dipenuhi dengan rakan-rakan berbilang kaum yang sentiasa berjuang untuk negara Malaysia.
"Dengan ini saya berasa menyesal di atas kecuaian saya dan dengan penuh rasa kesedaran sekali lagi saya memohon jutaan kemaafan kepada yang terkesan," kata pemain berusia 26 tahun itu yang membantu Malaysia merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2015 dan 2017.
Sementara itu, KHM dalam satu kenyataan memaklumkan yang pihaknya akan menjalankan siasatan berkaitan isu tersebut, awal minggu hadapan.
Menurut kenyataan itu, jawatankuasa displin mereka akan memanggil pemain terbabit untuk siasatan, sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan hantaran pemain tersebut di akaun sosial medianya.
"Dapatan daripada inkuiri itu akan dihantarkan kepada Menteri Belia dan Sukan untuk tindakan lanjut," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!