Bekas Pengawai Khas Najib muat naik rakaman prosiding bicara di FB
KUALA LUMPUR - Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Isham Abdul Jalil memuat naik rakaman prosiding perbicaraan hari kelima melibatkan bekas Perdana Menteri itu menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Rakaman selama dua minit 12 saat itu menunjukkan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi dalam kes tersebut.
Bagaimanapun, peguam terkemuka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tindakan yang dilakukan Isham itu salah disisi undang-undang dan telah menghina mahkamah.
“Laporan polis perlu dibuat dan salinan laporan perlu diserahkan kepada Pendaftar Mahkamah supaya tindakan seterusnya diambil,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Jelas beliau, mahkamah akan membuat keputusan dan tindakan yang sewajarnya terhadap Isham.
Perbicaraan hari kelima Najib atas tujuh pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!