Banduan berpeluang lanjut pelajaran
KOTA BHARU - Banduan Penjara Kelantan berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sijil, diploma dan ijazah apabila Jabatan Penjara Kelantan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) tahun ini.
Pengarah Penjara Kelantan, Hamzani Che Brahim berkata, kerjasama itu melibatkan Penjara Pengkalan Chepa dan Penjara Machang.
Menurutnya, peluang itu terbuka khususnya bagi pesalah juvana yang berminat untuk mengubah masa depan mereka.
"Ini adalah peluang yang tak boleh dilepaskan bila kita buat pertama kalinya bekerjasama dengan universiti swasta agar mereka yang berminat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
"Kini kami menunggu peruntukan dari agensi berkaitan dan OUM juga giat mencari dana agar ia dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya selepas program Hijrah Kasih Siri Ke 8/ 2019 di Surau Sekolah Satelit, Penjara Pengkalan Chepa semalam.
Katanya, pemilihan akan dibuat berdasarkan ketrampilan dan kesungguhan mereka untuk belajar.
Difahamkan penjara itu mempunyai 100 banduan termasuk tahanan reman di bawah umur 21 tahun.
Sementara itu, program berkenaan dirasmikan Pemangku Timbalan Pengarah Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, Shamsul Shah Tarja dan turut dihadiri Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Mat Yakob.
Program tiga hari bermula Selasa lalu itu disertai 65 banduan muda berusia antara 18 hingga 21 tahun.
Program Hijrah Kasih anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Penjara telah diadakan sejak 2011 bermula di Sekolah Henry Gurney, Melaka bertujuan memberi input ilmu agama khususnya fardu ain kepada banduan muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!