Juara ski AS maut dalam runtuhan salji di Jepun
DUNIA sukan berdukacita dengan pemergian juara ski Amerika Syarikat (AS), Kyle Smaine yang terbunuh dalam insiden runtuhan salji di Jepun, menurut jurugambar Grant Gunderson.
"Semalam adalah mimpi ngeri terburuk saya," tulis Gunderson di Instagram pada Ahad.
Gunderson, Smaine dan seorang lagi peluncur ski sedang menghabiskan hari terakhir mereka di Pusat Peranginan Ski Tsugaike Kogen.
Bagaimanapun, Gunderson tidak menyertai aktiviti meluncur pada hari kejadian.
Ketika kejadian, Smaine dikatakan melambung ke udara setinggi lebih 160 kaki (48 meter).
Dalam pada itu, bapa kepada pemain ski berusia 31 tahun itu mengesahkan kepada NBC News bahawa anaknya yang memenangi Kejohanan Ski Dunia FIS di Austria pada 2015 - meninggal dunia dalam runtuhan salji, lapor Agensi Akhbar Jerman.
Pada hari sebelumnya, Smaine menerusi hantaran di Instagram berkata salji yang luar biasa diikuti ribut tanpa henti dan suasana yang sangat menyeronokkan menjadi antara daya tarikan untuk pergi ke Jepun setiap kali tiba musim sejuk.
Hantaran itu disertakan dengan video yang memaparkan Smaine sedang beraksi.
Bagaimanapun, peluncur ketiga yang dikenal pasti sebagai Adam terselamat selepas tertimbus di bawah salji setinggi lima kaki selama 25 minit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!