Tuntutan harta RM1 bilion Jamaludin Jarjis belum muktamad

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tuntutan harta sepencarian RM1 bilion oleh balu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis terhadap ibu mentua dan empat anak di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa, belum dimuktamadkan.

Ketika ditemui selepas prosiding berlangsung, peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar berkata, Hakim Syarie, Abdul Shukor Abd Hamid menetapkan 2 Mei depan untuk merekodkan hasil perbincangan yang dipersetujui semua pihak.

Nur Hidayah yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah selaku defendan kelima berkata, buat masa ini semua pihak masih berbincang dan ia dijalankan secara tertutup.

Dalam pada itu, peguam syarie, Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Puan Sri Dr Kalsom Ismail selaku plaintif memohon prosiding akan datang didengar secara dalam kamar.

Katanya, ia membolehkan pertikaian itu ditamatkan dan hasil perbincangan tidak disensasikan sehingga boleh menjejaskan perjalanan kes.

Sementara itu, peguam syarie, Zuri Zabuddin Budiman berkata, keempat-empat anak Allahyarham bersetuju dengan permohonan berkenaan demi melindungi dan menjaga merahsiakan terma-terma persetujuan.

Bagaimanapun, Nur Hidayah membantah perkara itu, kerana setakat ini pihak-pihak belum memaklumkan sebarang terma persetujuan yang dicapai.

Abdul Shukor kemudiannya, membenarkan permohonan Sulaiman agar prosiding pada Selasa dan seterusnya, diadakan secara tertudup.

Kalsom, 67, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta beberapa saham syarikat tempatan pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan Aminah sebagai defendan pertama hingga kelima.

Pada 4 April 2015, Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat ketika itu berusia 64 tahun bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!