AS akan tamatkan darurat kesihatan awam Covid-19 pada 11 Mei

Pentadbiran Presiden Joe Biden mengumumkan pihaknya merancang untuk menamatkan darurat kesihatan awam (PHE) Covid-19 pada 11 Mei. - Foto 123RF
Pentadbiran Presiden Joe Biden mengumumkan pihaknya merancang untuk menamatkan darurat kesihatan awam (PHE) Covid-19 pada 11 Mei. - Foto 123RF
A
A
A

LOS ANGELES - Pentadbiran Presiden Joe Biden mengumumkan pada Isnin pihaknya merancang untuk menamatkan darurat kesihatan awam (PHE) Covid-19 pada 11 Mei.

PHE Covid-19 dan kecemasan negara telah diisytiharkan oleh pentadbiran bekas presiden Donald Trump pada 2020 yang tempoh tamat masing-masing adalah pada 1 Mac dan 11 April, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan Rumah Putih, Pentadbiran Biden merancang untuk melanjutkan pengisytiharan darurat kepada 11 Mei dan kemudian menamatkan kedua-duanya pada tarikh berkenaan.

Kenyataan itu dibuat sebagai membantah dua rang undang-undang Dewan yang akan menamatkan pengisytiharan darurat lebih awal.

Darurat kesihatan awam dan kecemasan negara telah membolehkan hospital di AS bertindak balas dengan lebih fleksibel apabila berhadapan dengan peningkatan jumlah pesakit semasa lonjakan jangkitan Covid-19.

Menamatkan pengisytiharan mungkin mempunyai implikasi untuk pembiayaan bagi ujian saringan dan vaksinasi serta memberi kesan kepada dasar berkaitan pandemik lain, lapor Radio Awam Nasional (NPR). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!