Malaysia dipelawa eksport produk pertanian ke Rusia
RUSIA mempelawa Malaysia untuk meningkatkan eksport produk pertanian termasuk buah-buahan tropika dan produk makanan laut ke negara itu.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam kenyataan berkata, usaha itu bagi meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dalam bidang pertanian.
"Rusia dan Malaysia berazam mahu meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian ini menjadi topik perbincangan utama antara Menteri MAFS, Mohamad Sabu dan Duta Besar Rusia di Malaysia, Naiyl M Latypov dalam pertemuan mereka di Putrajaya pada Isnin.
"Malah, kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang tersebut selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan," katanya.
Menurut MAFS, selain itu Rusia juga memaklumkan kesediaan untuk mengeksport produk halal dan soya ke Malaysia.
"Untuk rekod, Rusia merupakan rakan dagang Malaysia yang aktif dalam memperkukuhkan hubungan perdagangan pertanian. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, nilai import produk pertanian dan makanan daripada Rusia adalah sebanyak RM0.77 bilion,'' ujarnya.
Tambah MAFS, Malaysia dan Rusia dijangka memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian dan perikanan pada tahun ini.
"MoU tersebut akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan perdagangan dalam bidang pertanian antara kedua-dua buah negara termasuk kerjasama dalam teknologi biji benih, pertanian moden dan pintar, perikanan serta akuakultur.
"Rusia juga berbesar hati menjemput Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke Persidangan Ekonomi Antarabangsa melibatkan isu keterjaminan makanan yang akan dianjurkan oleh Rusia pada tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!