Keputusan UMNO gantung, pecat ahli beri kesan kepada BN
Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, K Raven Kumar berkata, pihaknya mengambil kira keputusan tersebut atas dasar rakan komponen dalam BN.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh itu berkata, beliau sedar dan bukan mahu mencampuri urusan dalaman UMNO kerana pihak lain tidak mempunyai hak dan kuasa untuk mencampuri urusan mana-mana parti.
"Semua pemimpin termasuk yang dikenakan tindakan ada jasa, kaliber dan sokongan mereka masing-masing, jadi sudah tentu tindakan yang dikenakan akan memberi kesan negatif juga terhadap BN.
"Kita tidak boleh menafikan perkara tersebut, tetapi itu merupakan keputusan yang diambil UMNO dan sebagai rakan komponen BN, kita hormati. MIC tidak akan masuk campur dalam soal itu," katanya.
Beliau yang juga Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Responsible Tourism di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Pada Jumaat, MKT UMNO membuat keputusan untuk memecat Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
MKT UMNO turut menggantung keahlian bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
Selain itu Datuk Seri Hasni Mohammad pula digugurkan jawatan selaku Pengerusi UMNO Johor dan tempatnya digantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dalam perkembangan lain, Raven Kumar menggesa semua kepimpinan parti komponen BN untuk fokus usaha memulihkan imej dan juga sokongan umum kepada gabungan berkenaan.
Jelasnya, ini kerana sejak PRU pada 2013, 2018 dan 2022, sokongan terhadap BN terus menurun.
"Jadi semua parti komponen perlu melakukan 'reality check' dan kenal pasti kesilapan sedia ada untuk diperbaiki.
"Kita perlu buat perkara ini betul-betul, kerana sekiranya tidak sokongan kepada BN akan terus menurun, lebih lagi dalam kalangan generasi muda," ujar beliau.
Mengenai kenyataan Ahli Jawatankuasa MIC Johor, S Deva yang menyifatkan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai diktator, beliau berkata, itu hanya pandangan peribadi dan bukannya pendirian parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!