PM mahu kontinjen Malaysia bawa pulang emas pertama Olimpik

Anwar ketika hadir pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Anwar ketika hadir pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar kontinjen Malaysia untuk melakar sejarah dengan membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik, pada temasya yang akan berlangsung di Paris tahun hadapan.

Anwar berkata, beliau percaya harapan tinggi itu tidak mustahil untuk dicapai, sekiranya semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan, persatuan dan badan sukan serta atlet, memainkan peranan masing-masing dan memberikan yang terbaik dalam semua jenis sukan yang disertai.

"Saya mahu sekurang-kurangnya kita kena capai satu pingat emas pada Sukan Olimpik akan datang.

"Ini cabaran saya kepada Menteri (Belia dan Sukan), Hannah Yeoh dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Dewan Banquet Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini hari ini.

Selain Hannah dan Mohamad Norza, majlis berprestij itu turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, serta kepimpinan persatuan dan badan sukan negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, walaupun boleh dan terbuka menerima apa juga keputusan dalam sebarang pertandingan tetapi apa yang perlu diterapkan kepada atlet adalah mereka perlu berusaha sebaik mungkin.

Perdana Menteri berkata, barisan atlet juga perlu ditekankan bahawa tiada tolak ansur dalam soal kerja keras ketika latihan.

"Kita mesti cuba sedaya upaya, usaha dan ikhtiar sebaik mungkin... selebihnya tawakal dan terima keputusan secara terbuka,” katanya.

Mohamad Norza merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Program Gold Paris 2024, yang ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan keberkesanan program itu.

Program Gold Paris 2024 merupakan sebahagian Program Podium sedia ada MSN, yang dikelaskan kepada dua kelompok atlet iaitu yang mampu layak serta berpotensi menyumbangkan pingat emas pada temasya sukan berprestij itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!