Polis cari 145 individu bagi bantu siasatan

Fazlisyam (tengah) dan Timbalannya, Superintendan Muhamad Tarmizi Awang (kanan) menunjukkan antara individu yang dikehendaki, pada sidang media di sini hari ini.
Fazlisyam (tengah) dan Timbalannya, Superintendan Muhamad Tarmizi Awang (kanan) menunjukkan antara individu yang dikehendaki, pada sidang media di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 145 individu dikesan polis Selangor bagi membantu siasatan polis berkaitan pelbagai kes Jenayah Komersial bermula tahun 2006 hingga kini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua mereka terdiri daripada 103 lelaki dan 42 perempuan berusia antara 30 hingga 50-an.

Menurutnya, individu yang dikehendaki ini melibatkan pelbagai jenis kesalahan komersial antaranya kes penipuan dan pecah amanah.

"Ada dalam kalangan mereka dipercayai telah melarikan diri ke luar negara namun kebanyakan mereka masih berada di sini," katanya ketika sidang media, di Bilik Gerakan JSJK Ibu Pejabat Pololis Kontinjen Selangor hari ini.

Fazlisyam berkata, polis akan meneruskan hebahan gambar mereka yang dikehendaki itu serta dimuat naik menerusi laman Facebook Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu-individu yang dicari ini juga boleh menyalurkannya dengan menghubungi nombor telefon yang tertera di bawah gambar berkenaan.

"Gambar mereka akan dipadam dari Facebook setelah mereka berjaya ditahan atau secara sukarela tampil memberi kerjasama kepada polis," katanya.

Fazlisyam menambah, seramai 32 individu dikehendaki, telah tampil sepanjang tempoh sebulan lalu selepas hebahan pertama dibuat pada 14 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pada hebahan pertama itu, polis mendedahkan wajah 115 individu dikehendaki di media arus perdana dan Facebook.

"Kesemua mereka tampil kepada polis secara sukarela dan dengan kerjasama itu, telah berjaya membantu polis dalam menyelesaikan siasatan jenayah komersial," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!