Warden dihukum gantung edar dadah di Penjara Sungai Buloh

Seorang warden dihukum gantung sampai mati kerana mengedar dadah di Penjara Sungai Buloh.
Seorang warden dihukum gantung sampai mati kerana mengedar dadah di Penjara Sungai Buloh.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan seorang warden mengedar dadah di Penjara Sungai Buloh mengundang padah apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Mohd Elmy Arif Hamid, 40, menunduk selepas hukuman itu diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Nurulhuda Nur’aini Md Nor.

Dalam penghakimannya, Nurulhuda Nur’aini berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan dengan anggapan mengedar dadah tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim manakala tertuduh diwakili peguam, Zameri Mat Nawang dan Ilya Hakim.

Mohd Elmy dihukum gantung bagi kesalahan mengedar dadah iaitu 325.1 gram kanabis dan 84.97 gram methamphetamine di Penjara Sungai Buloh di sini, pada jam 11 malam, 18 Jun 2019 lalu.

Hukuman dibuat mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dihukum dua tahun penjara dan tiga sebatan kerana memiliki 4.25 gram dadah jenis heroin, mengikut Seksyen 39A (1) akta sama.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara enam bulan hingga setahun bagi tiga lagi pertuduhan iaitu memiliki 1 gram dadah Monoacetylmorphines dan ada dalam kawalannya dadah Etizolam (38.67 gram) serta Clozapine (50.8gram).

Dia didakwa bawah Seksyen 12(3) ADB 1952; Seksyen 30 dan 9 Akta Racun 1952.

Tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara serentak dari tarikh tangkap iaitu 18 Jun 2019.

Perbicaraan kes yang bermula 24 Ogos 2021 telah memanggil sembilan saksi pendakwaan manakala di peringkat pembelaan, seramai tiga saksi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!