'Saya masih dahaga kejayaan' - Azizulhasni

Anwar (tengah) bersama Azizulhasni (dua, kiri) dan Pandelela (dua, kanan) sempena ASN 2021 di MSN Bukit Jalil pada Selasa. Turut hadir Hannah (kiri).
Anwar (tengah) bersama Azizulhasni (dua, kiri) dan Pandelela (dua, kanan) sempena ASN 2021 di MSN Bukit Jalil pada Selasa. Turut hadir Hannah (kiri).
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memahat sejarah tersendiri apabila meraih gelaran Olahragawan Kebangsaan buat kali kelima sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Selasa.

Azizulhasni yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Ogos 2021, mengetepikan empat calon lain - Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu badminton lelaki), Buda Anchah (bina badan), Ng Eain Yow (skuasy) dan Syarifuddin Azman atau Damok (permotoran dua roda).

Kejayaan itu menyaksikan Azizulhasni yang terkenal dengan panggilan The Pocket Rocketman menyambar gelaran sama buat kali kelima dalam kariernya selepas turut muncul Olahragawan Kebangsaan pada 2009, 2010, 2017 dan 2019/2020.

"Hari ini saya berasa amat terharu kerana sekali lagi dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan. Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana dapat memenangi gelaran ini buat kali kelima dalam karier saya.

"Saya ingin pastikan ini bukan kemenangan terakhir memandangkan saya akan bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024 nanti. Jadi saya masih dahagakan kejayaan untuk menaikkan martabat sukan negara," kata Azizulhasni.

Azizulhasni kini muncul atlet paling banyak memenangi anugerah tersebut selepas menyamai rekod dua legenda badminton - Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei yang telah memenanginya sebanyak empat kali.

Chong Wei pernah meraih anugerah Olahragawan Kebangsaan pada 2005, 2008, 2011 dan 2012, manakala Rashid pada 1990, 1991, 1992 dan 1996.

Jaguh bina badan, Sazali Samad yang juga Mr Universe (juara dunia) 10 kali turut berada dalam kelas tersendiri apabila meraih gelaran pada 2000, 2006, 2013 dan 2014.

Ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong turut menepati ramalan apabila meraih anugerah Olahragawati Kebangsaan bagi mengetepikan empat calon lain - Meilaura Dora Jimmy (bina badan), Rachel Arnold dan Aifa Azman (skuasy) dan Nur Amisha Azrilrizal (muay thai).

"Saya rasa sangat gemuruh kerana ramai VIP (kenamaan) hadir di anugerah ini. Tapi saya rasa gembira dan juga berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana menganjurkan ASN 2021.

"Terima kasih juga kerana memberikan penghargaan Olahragawati 2021 kepada saya. Bukan mudah menjadi seorang atlet dan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa," kata Pandelela.

Antara pencapaian Pandelela sepanjang tahun 2021 adalah meraih pingat emas dalam acara 10 meter (m) individu pada Piala Dunia FINA di Tokyo selain penerjun berusia 29 tahun itu turut membuat penampilan keempat di pentas Olimpik Tokyo 2020.

Pandelela sebelum ini pernah meraih gelaran Olahragawati Kebangsaan pada 2011, 2012 dan 2015, manakala legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David masih memegang rekod terbanyak dengan 10 kali (1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010, 2013 dan 2014).

Jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin pula memenangi anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan bagi mengetepikan Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga), Cheah Like Hou (para badminton), Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia).

Atlet para renang, Brenda Anellia Larry merangkul gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, sekali gus mengetepikan dua lagi calon - Siti Noor Iasah Mohammad Ariffin (para olahraga), Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal).

Majlis yang berlangsung meriah itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim serta Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

ASN yang diperkenalkan sejak tahun 1966 adalah satu pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!