Tun Faisal umum dipecat UMNO
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz mengumumkan beliau telah dipecat keahliannya dalam UMNO setelah hampir dua tahun digantung.
Beliau melalui satu hantaran memberitahu telah menerima surat pemecatan tersebut pada jam 4.28 petang melalui aplikasi WhatsApp setelah dihubungi Ibu Pejabat UMNO.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa perkara dianggap menarik di dalam surat berkenaan antaranya beliau masih dirujuk sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian.
“Maksudnya jika sesiapa digantung keahlian, gelaran jawatan mereka masih kekal walaupun hak keahlian mereka digantung. Jadi Datuk Seri Hishammuddin masih boleh digelar Ketua UMNO Bahagian dan bukan bekas atau mantan seperti yang dirujuk oleh media terhadap saya sebelum ini,” katanya pada Selasa.
Pada Mac 2021, UMNO telah menggantung keahlian beliau selama enam tahun susulan tindakannya membuat kenyataan terbuka menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Selain itu, Tun Faisal menyifatkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan 'terlupa' untuk menyenaraikan nama beliau di antara sembilan ahli UMNO Putrajaya yang digantung sebelum ini.
“Mungkin selepas saya buat siaran langsung mengenai keputusan pembersihan UMNO daripada golongan penentang Datuk Seri Zahid Hamidi, baru ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perasan, rupanya ada seorang lagi yang mereka lupa nak umum pecat.
“Jadi termasuk saya, mungkin jumlah sebenar ahli UMNO Putrajaya yang dipecat adalah 10 orang,” jelasnya.
Tambah beliau, sekiranya lembaga disiplin dan MKT UMNO berfungsi dengan baik, Ahmad Zahid sepatutnya orang pertama yang dipecat kerana didakwa telah mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sejak Oktober lagi.
“Diikuti dengan 13 orang lagi pemimpin UMNO yang turut menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau mengambil keputusan untuk tidak membuat rayuan kerana keputusan sudah dijangka, lebih-lebih lagi apabila MKT dan Ahmad Zahid tidak terbuka untuk menerima kritikan.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan pemimpin yang telah berjuang atas dasar agama, bangsa dan tanah air sehingga berjaya mengangkat dan memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan negara.
“Selain menghalang negara ini daripada menjadi sebuah negara sekular dan menghalang kehendak parti-parti tertentu yang mahu menyamaratakan kedudukan Islam dengan agama-agama lain, serta mengangkat dan membela kedudukan orang Melayu dan Bumiputera,” ujarnya.
Tambah beliau, penentangannya adalah kepada individu dan bukan terhadap parti UMNO secara keseluruhannya kerana menyifatkan UMNO dan BN jelas dengan prinsip perjuangannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!