'Harap Nurul Izzah undur diri demi penjenamaan peribadi'
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar diharap dapat mengundurkan diri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi kepada Perdana Menteri yang juga bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pasukan Teras Rasuah Busters, Anas Zubedy berkata, meskipun Nurul Izzah menjawat jawatan tersebut tanpa gaji, namun ia akan merosakkan penjenamaan peribadinya.
“Kita nak kurangkan apa-apa tuduhan mengenai kronisme kerana memang sudah lama perkara ini dilakukan. Perdana Menteri juga sebelum ini ada cakap tidak mahu kronisme.
“Beliau (Nurul Izzah) juga adalah antara ahli politik muda yang diharapkan orang ramai. Pemimpin masa depan. Mereka yang sokong ini tidak kira bangsa, parti. Jadi, kalau dimasukkan ke dalam pasukan Anwar, imejnya berkurang,” katanya pada Selasa.
Tambah beliau, dengan mempunyai penjenamaan peribadi yang baik, Nurul Izzah berpotensi untuk memulakan satu gerakan perpaduan yang boleh menarik rakyat, terutama golongan muda tidak mengira bangsa, agama, parti dan tempat.
Selain itu, beliau turut mengesyorkan Perdana Menteri melantik Dr Michael Jeyakumar sebagai penasihat berkenaan isu kemiskinan.
“Tambahan lagi Dr Jeyakumar faham mengenai masalah penduduk luar bandar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!