Nurul Izzah paling layak dilantik penasihat ekonomi, kewangan
SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar merupakan individu terbaik untuk menjawat jawatan Penasihat Kanan Ekonomi kepada Perdana Menteri yang juga bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, ini berdasarkan pengalaman yang diperoleh Nurul Izzah membuatkan beliau layak menjadi penasihat kepada Ahli Parlimen Tambun itu.
“Beliau (Nurul Izzah) merupakan ahli Parlimen untuk tiga penggal selain ahli dilantik Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk semak dan imbang wang negara. Beliau juga telah bertemu dengan banyak pemimpin luar seawal usia 18 tahun ketika pemecatan ayahandanya.
“Ada tanya, kenapa tidak nasihat di rumah? Tetapi bagi saya, yang memacu negara adalah Perdana Menteri bukan Anwar secara individu. Jadi, Nurul Izzah dilantik kerana beliau merupakan orang kepercayaan dan merasakan amat sesuai untuk berada dalam kotak struktur itu sendiri.
“Untuk nasihati Perdana Menteri, perlu ada hierarki, bukan nasihat secara individu semata-mata,” katanya semasa Wacana Sinar Edisi ke-382 yang bertajuk ‘Mampukah Konsep Madani Memulih Negara’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan, Amidi Abdul Manan dan Pakar Undang-undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Mengulas mengenai konsep Madani yang diperkenalkan, beliau berkata, ia bukanlah retorik, atau penjenamaan semula yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri.
Jelas Mohammed Taufiq, konsep Madani tersebut dapat dicapai sekiranya keterlibatan melibatkan semua pihak iaitu kerajaan dan juga rakyat.
“Elemen yang saya fokuskan adalah keyakinan. Keyakinan dan kepercayaan adalah elemen paling mencabar untuk kita gapai. Maknanya, kepercayaan rakyat kepada rakyat, pemimpin kepada rakyat.
“Ini kerana, pemerintahan sebelum ini banyak salah laku atau banyak hal-hal yang menyebabkan rakyat kurang percaya pada pemerintah. Kenapa? kerana banyak mengamalkan demokrasi kelas atasan. Maksudnya ada jurang rakyat dan pemimpin sehingga rakyat kurang percaya kepada pemimpin,” jelasnya.
Tambah beliau, sekiranya sikap saling mempercayai tersebut wujud, ia akan menjadikan negara Malaysia Madani seperti yang digagaskan, bertamadun, makmur dan juga maju.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!