Tambah pendapatan proses kenaf
KOTA BHARU - Tanaman kenaf mungkin tidak popular dalam masyarakat tetapi manfaatnya boleh dinikmati untuk menambah pendapatan.
Warga emas dari Kampung Demit, Ibrahim Majid, 65, menggunakan peluang mengambil upah memproses tanaman itu setiap musim dengan memperoleh pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan.
Tukang rumah itu juga memulakan tugas membersihkan batang kenaf kira-kira jam 3 petang selepas pulang dari kerja.
"Pekerja Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan menghantar batang kenaf ke rumah saya untuk diproses. Mereka juga menyediakan peralatan dan bahan pemprosesan," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Selasa.
Beliau berkata, batang kenaf juga disebut sebagai riben kerana sudah lembut selepas melalui proses rendaman dalam larutan asid khas.
Ibrahim hanya memperuntukkan kira-kira tiga jam sehari membersihkan riben itu tetapi lebih lama masa diperuntukkan pada hari Jumaat dan Sabtu iaitu kira-kira lapan jam kerana tidak terikat dengan tugas lain.
Bapa kepada dua anak berusia 28 hingga 30 tahun itu memberitahu setiap 150 kilogram riben yang diproses dapat menghasilkan hanya 20 peratus riben yang benar-benar bersih.
"Bagaimanapun, ia berbaloi kerana kita tidak perlu memikirkan pasaran dan menerima upah sebanyak RM4 untuk sekilogram," katanya.
Tambahnya, tidak sukar memproses riben kenaf kerana ia hanya perlu dicuci, dijemur dan disikat untuk meleraikan kusutan setiap uratnya.
Ibrahim turut menggalakkan suri rumah menjana pendapatan dengan memproses riben kenaf kerana tidak memerlukan modal sebaliknya hanya kesungguhan dan minat.
"Saya mendapat peluang ini selepas kakitangan LKTN memberi penerangan di kampung ini mengenai pemprosesan kenaf," katanya.
Usaha Ibrahim mendapat mendapat pengiktirafan LKTN selepas dipilih sebagai pengeluar fiber premium dalam aktiviti cucian dan menghasilkan fiber gred A.
Fiber premium banyak digunakan dalam industri tilam, bantal, mainan kanak-kanak dan kraftangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!