Sampai bila insiden jeti roboh harus berulang
INSIDEN jeti roboh di Pulau Pababag, Semporna, Sabah pada Isnin yang menyebabkan 25 murid jatuh ke dalam laut menunjukkan kepekaan terhadap penyelenggaraan dan keselamatan di negara ini masih di tahap rendah.
Pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi penyelenggaraan dan pemantauan harus bertanggungjawab atas kejadian berkenaan.
Sepatutnya, jeti yang diperbuat daripada kayu perlu diperiksa dengan kerap dan audit keselamatan pula mesti dijalankan ke atas kemudahan sedemikian yang berisiko terjejas akibat penggunaan setiap hari, cuaca buruk dan air laut yang menghakis.
Apa pun, insiden jeti roboh bukan pertama kali dilaporkan di negara ini.
Pada 29 Oktober 2018, seramai 12 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) cedera apabila laluan dilalui mereka di Pulau Tikus, Pulau Pinang tiba-tiba runtuh.
Malah, Ahli Parlimen Semporna yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri pernah jatuh ke dalam laut dalam insiden jeti roboh di Kampung Pulau Selakan pada Disember 2015, bagaimanapun beliau dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Mengulas insiden Isnin lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengambil langkah untuk menyiasat punca kejadian jeti roboh di Pababag.
Difahamkan, KPM akan mengadakan satu sesi libat urus bersama pemegang taruh dan pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.
Shafie sendiri juga telah mengarahkan jenteranya memperbaiki segera jeti uzur berkenaan menggunakan duit poketnya sendiri bukan dari bajet kerajaan Sabah supaya ia dapat digunakan seperti biasa.
Pun begitu, insiden di Pababag tetap menerima reaksi negatif terutamanya daripada rakyat Sabah yang menuding jari kepada wakil rakyat di kawasan itu.
Rata-ratanya berpendapat, kemudahan uzur serta usang terlepas pandang berpunca daripada sikap individu bergelar Yang Berhormat yang asyik berpolitik dan berebut kuasa sehingga mengabaikan kemudahan rakyat.
Semoga insiden di Pababag menjadi pengajaran buat semua agar tidak memandang ringan akan infrastruktur penting untuk penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!