CPI merosot: Tiada lagi ‘yes bos’, lakukan semak, imbang
SHAH ALAM - Kaedah semak dan imbang dalam blok kerajaan perlu dilakukan bagi meningkatkan semula skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pimpinan yang berada dalam Kerajaan Perpaduan tidak boleh mengamalkan sikap ‘yes boss’ seperti yang didakwa dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
“Kalau dahulu, tidak boleh mengkritik pemimpin, tidak boleh berkata benar walaupun itu pahit. Itu semua tidak boleh lagi.
“Dan lebih penting lagi adalah pemerkasaan institusi itu sendiri. Maknanya, tidak boleh ada pilih kasih atau ‘double standard’ dari segi siasatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Selasa, Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan memaklumkan, skor CPI Malaysia tahun 2022 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) terus merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara.
Tambah Muhammad, daripada 53 pada 2019, skor negara telah jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lepas.
Jelas Mohammed Taufiq, setiap kes mahkamah yang sedang berlangsung meskipun melibatkan pemimpin, ia tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
“Siasatan perlu berterusan secara telus dan bijaksana oleh pihak tertentu.
“Sekarang adalah masanya untuk kita mereformasikan segala institusi dan sistem itu sendiri. Ini adalah lebih penting,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!