Peniaga tempatan perlu susun strategi bersaing secara sihat
ALOR SETAR - Peniaga kedai makan tempatan disaran untuk bersaing secara sihat dengan peniaga di sempadan atau Selatan Thailand walaupun harga makanan di negara jiran itu lebih tinggi.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, sekiranya peniaga sepakat menurunkan harga makanan setanding di negara jiran yang menawarkan masakan enak dan dalam saiz hidangan lebih besar itu, akhirnya rakyat negara ini tidak perlu lagi menyeberang untuk menikmati masakan Thailand.
Menurutnya, persatuan peniaga perlu menyusun strategi dengan mencari penyelesaian agar dapat menawarkan makanan enak pada harga berpatutan tanpa mengenakan caj tambahan kepada pengguna.
“Namun ia perlukan kerjasama banyak pihak untuk jadikan ia kenyataan, termasuk bantuan daripada kerajaan.
“Walaupun ia bentuk persaingan yang sihat antara peniaga tempatan dan sempadan, namun perlu melihat dari aspek positif bukannya dengan menaikkan harga apabila kos meningkat, sebab itu ia perlukan komitmen banyak pihak,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohamad Yusrizal berkata, situasi menang-menang akan berlaku sekiranya pihak terlibat bekerjasama mencari jalan penyelesaian untuk menurunkan harga makanan mahupun bahan mentah kerana ia merupakan rantaian ekonomi.
“Akhirnya, ia membantu kerajaan mengurangkan pengaliran wang keluar apabila semakin kurang rakyat negara ini memilih kedai makan di Selatan Thailand.
“Memang tidak dinafikan ramai rakyat yang tinggal di sempadan gemar makan di Dannok, Hatyai atau Golok sebab harganya lebih murah selain lebih sedap berbanding dalam negara,” ujarnya.
Beliau berkata, biarpun terdapat peniaga yang berasal dari Thailand khususnya Pattani membuka kedai makan di negara ini namun harga ditawarkan tidak sama dengan negara asal, yang mana mereka menaikkan harga mengikut harga semasa dalam negara ini.
“Peniaga tempatan maklumkan mereka terbeban dengan kos bahan mentah, gas, upah pekerja dan sebagainya berbanding kos lebih murah di Thailand antaranya kos buruh agak murah.
“Contohnya dalam negara menggaji pekerja antara RM70 hingga RM100 sehari, kalau pekerja ramai kos mereka lagi meningkat, jadi peniaga terpaksa naikkan harga makanan atau barangan. Tambahan pula harga barang mentah juga tak menentu,” tambahnya lagi.
Justeru, Mohamad Yusrizal berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dapat menyelesaikan kemelut rakyat yang ditanggung sejak beberapa tahun lepas.
“Harga barangan basah atau kering, bahan mentah seperti ayam, ikan dan sayuran masih perlu diturunkan, agar peniaga dapat tawarkan harga lebih murah kepada pengguna sekali gus menyelamatkan perniagaan peniaga tempatan,” jelasnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kelazatan makanan 'Siam' yang lebih menggiurkan menjadi antara faktor utama ribuan rakyat Malaysia berkunjung ke sempadan negara jiran, Thailand seperti Dannok dan Golok untuk berbelanja.
Meskipun harga makanan di Thailand didapati lebih tinggi sedikit berbanding Malaysia iaitu perbezaan antara RM1 hingga RM2, namun ia tidak menghalang rakyat Malaysia menikmati makanan di negara tersebut kerana ia bukan sahaja lebih sedap, malah saiz hidangannya juga lebih besar.
Dalam pada itu, Timbalan Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Tanes Petsuwan memaklumkan, rakyat Malaysia dianggarkan membelanjakan lebih RM3 bilion melancong di Thailand sepanjang tahun lalu dengan kira-kira RM600 juta daripadanya digunakan untuk makan dan minum.
Ia susulan jumlah kemasukan pelancong Malaysia meningkat lebih 1.5 juta orang tahun lalu selepas dua tahun industri pelancongan negara itu suram akibat pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!