Skor CPI merosot: Belajar dari negara hebat

Muhammad Mohan
Muhammad Mohan
A
A
A

TAHUN ini, Malaysia sekali lagi mencatatkan kemerosotan dalam skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) iaitu hanya merekodkan 47 mata daripada 100 mata.

Meskipun dari segi kedudukan Malaysia meningkat kepada 61 daripada 180 negara berbanding 62 pada 2021, namun jumlah mata yang merosot tersebut membuktikan gejala tersebut masih berleluasa berlaku di negara ini.

Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, daripada 53 pada 2019, skor negara telah jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lepas.

“Penurunan signifikan secara statistik ini menunjukkan bahawa kita menuju ke arah yang salah dalam memerangi rasuah, mendukung hak asasi manusia dan demokrasi di sektor awam,” katanya ketika membentangkan keputusan CPI 2022 di ibu negara pada Selasa.

CPI menggunakan skala di mana 0 dianggap sangat korup dan 100 dianggap sangat bersih.

Antara sebab yang dikesan menyebabkan perkara tersebut berlaku adalah terdapat banyak pengumuman pakej rangsangan semasa pandemik Covid-19 tanpa perdebatan di Parlimen.

Selain itu, lantikan politik yang tidak layak untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan juga menjadi punca.

Antara lain, tambah Muhammad Mohan, keengganan untuk mengatasi kos berlebihan dengan tegas seperti kapal tempur pesisir (LCS) juga menjadi faktor kemerosotan skor CPI tersebut.

Namun begitu, kemerosotan tersebut berlaku adalah semasa pemerintahan yang lepas, iaitu sebelum Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diyakini mampu meningkatkan semula skor CPI pada tahun akan datang kerana dilihat komited dalam membendung gejala rasuah.

“Kita lihat sahaja kerajaan sekarang ini untuk meneruskan langkah pembaharuan yang sedang dilaksanakan,” jelasnya.

Kerajaan disaran untuk mengikuti perkara yang dilakukan oleh Denmark, Finland, New Zealand, Norway mahupun Singapura dalam mendapatkan skor CPI yang tinggi.

Ini bagi membolehkan negara benar-benar berjaya membanteras rasuah sekaligus menarik minat lebih banyak pelabur luar untuk masuk ke negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!