'Guna isyarat mata, kaki jika nak minta bantuan'
KOTA BHARU - Bekas pekerja kilang, Mohamad Rasydan Mohd Razali, 23, yang koma lebih tujuh bulan lalu kini sudah mampu memberi isyarat jika mahu meminta bantuan keluarga.
Abangnya, Muhamad Adol Mohd Razali, 35, berkata, adiknya sudah boleh menggunakan isyarat mata dan kaki selepas usaha berterusan keluarganya.
Menurutnya, walaupun tidak banyak perubahan tetapi mereka sekeluarga gembira kerana badan adiknya juga tidak mengeras seperti sebelum ini.
"Lengan Mohamad Rasydan sudah boleh diangkat walaupun perlu dibantu.
"Alhamdulillah, dia juga sudah tidak mengalami batuk sejak dua bulan lalu tetapi masih bergantung kepada tiub bagi membantu pernafasan," katanya.
Sinar Harian pada 3 Disember lalu melaporkan seorang pemandu lori mengambil keputusan berhenti kerja kerana mengambil tanggungjawab menjaga adiknya yang separuh koma akibat jangkitan kuman pada otak atau tuberkulosis (TB).
Bagaimanapun, sehingga kini Mohd Adol yang tinggal bersama keluarganya di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai tidak dapat bekerja dan tiada pendapatan.
"Keadaan kesihatan ibu saya, Robiah Dollah, 59, yang mengalami sakit saraf juga semakin merudum manakala bapa, Mohd Razali Mat Nor, 60, juga tidak aktif menoreh getah kerana hujan berterusan.
"Saya bersyukur kerana boleh menjaga mereka dan percaya ada rezeki lain yang lebih baik selepas ini," katanya.
Tambahnya, Mohamad Rasydan memerlukan lebih RM2,000 sebulan untuk membeli susu formula khas, kos rawatan, lampin pakai buang serta tambang ambulans jika ada janji temu di hospital.
"Susunya satu tin berharga RM80 dan bertahan empat hari. Alhamdulillah bantuan bulanan ibu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dapat meringankan beban kami sekeluarga," katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor 0300541000173906 atas nama Robiah Dollah atau menghubungi Mohd Adol di talian 0129481230.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!