Lato-lato menjadi trend, semakin menular di Malaysia
HUJUNG minggu lalu, tiga anak Merak Jalanan yang masih bersekolah rendah merengek mahu 'lato-lato'.
Merak Jalanan ingatkan lato-lato ini sejenis makanan kerana bunyinya hampir sama dengan nama juadah tradisi masyarakat Bajau di Sabah iaitu latok.
Ternyata, sangkaan Merak Jalanan meleset sama sekali kerana menurut anak-anak ia adalah sejenis permainan yang kini amat popular di negara seberang.
Mainan? Ya itulah persoalan yang muncul di benak fikiran Merak Jalanan. Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, Merak Jalanan melayari YouTube.
Rupa-rupanya di Indonesia tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa semuanya dilanda demam lato-lato dan 'penyakit' itu nampak gayanya telah melarat ke negara kita, gara-gara ia tular di TikTok dan platform media sosial yang lain.
Menurut jiran Merak Jalanan yang juga seorang guru, sudah ada murid yang membawa mainan ini ke sekolah dan telah diminta untuk tidak mengulangi perbuatan itu kerana ia bukan sahaja melekakan, malah boleh mendatangkan risiko kecederaan pada jari dan kawasan sekitar kepala.
Apa pun, menerusi pembacaan Merak Jalanan, populariti lato-lato baru sahaja kembali memuncak sejak kebelakangan ini terutamanya di daerah Makassar dan kawasan sekitarnya di Sulawesi Selatan.
Ia adalah permainan bermusim yang popular sekitar tahun 70-an, 90-an dan awal 2000.
Sebenarnya lato-lato atau Clakers telah diharamkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) kerana menyebabkan risiko kecederaan kepada kanak-kanak.
Berbalik kepada permintaan anak-anak tadi, Merak Jalanan meminta mereka melupakan sahaja hasrat untuk memiliki lato-lato.
Ini kerana ia bukan sahaja mendatangkan bunyi yang menjengkelkan, silap hari bulan boleh tercedera pula kerana batu yang berat itu.
Merak Jalanan berpesan kepada anak-anak, bukan semua perkara tular boleh jadi ikutan!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!