Lantikan Nurul Izzah sebabkan banyak pihak angkat bendera merah
SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik anaknya sendiri iaitu bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan didakwa menyebabkan banyak pihak mengangkat bendera merah tanda bahaya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Anwar perlu berfikir dan mempertimbangkan semula keputusan tersebut bagi mengelakkan isu itu menjadi lebih parah pada masa akan datang.
“Kalau ada yang perlu diperbetulkan, betulkanlah sebelum terlambat atau melarat-larat yang besar padah dan mudaratnya. Kita tidak mahu itu berlaku,” katanya dalam siaran di Facebook pada Rabu.
Nurul Izzah sebelum ini mendedahkan bahawa beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Ujar Hassan, rakyat sebelum ini memberi peluang apabila Anwar melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menurutnya, rakyat sekali lagi menutup mata dan bersangka baik apabila Anwar melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan kerana percaya kepada tokoh reformasi itu.
“Kesangsian tentang bahayanya jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipegang oleh orang yang sama semakin berkurangan kedengaran apabila Anwar mengambil beberapa langkah meyakinkan untuk menjaga kewangan dan ekonomi negara.
“Tetapi apabila Anwar melantik anaknya sendiri menjadi Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepadanya sebagai Perdana Menteri, maka banyak pihak yang telah mengangkat bendera merah tanda bahaya.
“Anwar Ibrahim sebagai peribadi tiada masalah sebenarnya. Sikap amanah dan intergritinya dalam soal kewangan dan ekonomi adalah terpuji,” menurutnya.
Tambahnya, negara ini menuntut sistem pentadbiran yang telus dan berintegriti di mana aspek itu merupakan inti pati perjuangan reformasi pentadbiran yang diperjuangkan oleh Ahli Parlimen Tambun itu bersama penyokongnya selama ini.
“Benarlah ini satu cabaran. Perjuangan reformasi yang berliku-liku dan kadang-kadang berlengkang-lengkok selama hampir suku abad ini yang dipimpin oleh Perdana Menteri ke-10 kita ini sudah sampai masanya untuk diluruskan kembali.
“Adalah diharapkan tulisan ini dapat dibaca oleh Anwar Ibrahim sendiri dan sekian (semua) penyokongnya yang begitu ramai berdoa agar Anwar Ibrahim dapat menyelamatkan rakyat dan negara tercinta ini,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tarik balik lantikan, pro bono bukan alasan halalkan nepotisme'
ARTIKEL BERKAITAN: Lantik anak, isteri bakal jadi kebiasaan baharu - Mohd Radzi
ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah perlu ada latar belakang khusus sebagai penasihat
ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan Nurul Izzah undang perdebatan di media sosial
ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan Nurul Izzah tak wajar, bawa konflik kepentingan
ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah layak dilantik Penasihat Ekonomi, Kewangan - Anwar
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Nurul Izzah tidak dibayar elaun - Anwar
ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman, bakat Nurul Izzah dapat bantu bangunkan negara
ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!