Newcastle tamat kemarau 47 tahun mara ke final
NEWCASTLE United menempah tempat ke perlawanan akhir Piala Liga buat kali pertama selepas 47 tahun apabila mengatasi Southampton 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di St James Park pada Rabu.
Kemenangan itu menyaksikan Newcastle mara ke pentas akhir dengan agregat 3-1 selepas memenangi perlawanan pertama 1-0 di laman lawan minggu lalu.
Sean Longstaff mencetak gol pertama pada minit kelima dan ke-21 manakala Che Adams memberikan gol sagu hati kepada Southampton pada minit ke-29.
"Saya tidak pernah bermain dalam suasana seperti itu. Kami bermula dengan sangat baik menjaringkan dua gol yang bagus, biarkan mereka cuba untuk bangkit sedikit, tetapi kami gembira dapat mengatasinya.
"Ia adalah malam yang istimewa. Sudah lama kami tidak mengalami malam seperti ini dan ia yang sukar dipercayai," kata pemain pertahanan Newcastle, Dan Burns.
Kemenangan yang diperolehi itu boleh dikatakan detik terbaik sejak Newcastle diambil alih oleh konsortium yang disokong Arab Saudi pada Oktober 2021.
Mereka juga cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan ketiga dan mempunyai peluang untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
"Sungguh menakjubkan apa yang boleh berlaku dalam setahun. Kami akan ketawakan anda jika anda berkata seperti ini 12 bulan lalu. Sangat istimewa apa yang kami sedang bina pada masa ini, "kata Longstaff.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!