Denda hingga RM1 juta import, eksport hidupan liar tanpa permit

Perhilitan menyelamatkan seekor beruang matahari yang terkena jerat haram. - Foto Perhilitan
Perhilitan menyelamatkan seekor beruang matahari yang terkena jerat haram. - Foto Perhilitan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menguatkuasakan 44 seksyen di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646] bermula 1 Februari 2023.

Jabatan Perhilitan dalam kenyataan berkata, penguatkuasaan Akta A1646 bakal menyaksikan peningkatan penalti bagi kesalahan jenayah hidupan liar yang melibatkan kesalahan menyimpan, memburu dan menyeludup hidupan liar.

Menurutnya, kesalahan di bawah Seksyen 71 iaitu mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas (penyeludupan) boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun.

"Peningkatan penalti bagi kesalahan menyeludup hidupan liar adalah perlu kerana ia merupakan jenayah serius menyebabkan hidupan liar iaitu sumber khazanah negara yang tidak ternilai akan terancam akibat aktiviti haram ini.

"Jenayah ini juga dikategorikan sebagai jenayah terancang berskala besar yang merentasi sempadan negara," katanya pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, melalui peningkatan kadar penalti di bawah pindaan ini, ia memberi satu mesej jelas kepada penyeludup bahawa mereka perlu sedar dan berhenti menjalankan aktiviti haram itu.

Senjata api yang digunakan pemburu haram dirampas menerusi operasi Perhilitan pada tahun lalu. - Foto Perhilitan
Senjata api yang digunakan pemburu haram dirampas menerusi operasi Perhilitan pada tahun lalu. - Foto Perhilitan

Katanya, menerusi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3), Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama agensi lain melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) dan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) akan terus dilaksanakan selain kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

"Program BP3 juga diperkukuhkan melalui pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT), Orang Asli (OA) dan orang awam sebagai Renjer Hidupan Liar untuk membantu melaksanakan tugas-tugas operasi kawalan sempadan, rondaan dan penguatkuasaan," ujarnya.

Perhilitan merampas anggota badan binatang liar menerusi Operasi Bersepadu Khazanah pada tahun lalu. - Foto Perhilitan
Perhilitan merampas anggota badan binatang liar menerusi Operasi Bersepadu Khazanah pada tahun lalu. - Foto Perhilitan

Tegasnya, Perhilitan menyeru orang ramai untuk mengambil maklum mengenai Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646] yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2023.

"Salurkan sebarang maklumat aktiviti jenayah hidupan liar kepada Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!