Fernandez pecah rekod pemain termahal EPL

Enzo Fernandez
Enzo Fernandez
A
A
A

CHELSEA telah menandatangani Enzo Fernandez dari Benfica selepas memenuhi klausa pelepasan pemain itu bernilai €120 juta (RM555 juta) pada Rabu.

Perjanjian itu memecahkan rekod perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini sebanyak £100 juta (RM525 juta) yang dibayar Manchester City kepada Aston Villa untuk mendapatkan Jack Grealish pada 2021.

Fernandez dilaporkan akan menandatangani perjanjian sehingga 2031 dan menjadi pemain ketujuh yang menyertai Chelsea pada jendela perpindahan Januari selepas Benoit Badiashile, David Datro Fofana, Andrey Santos, Mykhailo Mudryk, Noni Madueke dan Malo Gusto.

Pengendali Benfica, Roger Schmidt sebelum ini tidak mahu melepaskan Fernandez, tetapi akan bersetuju jika ada kelab yang mampu membayar klausa pelepasan pemain itu.

Fernandez berpindah dari kelab Argentina, River Plate ke Benfica pada 2022 dan telah bermain 29 kali dalam semua pertandingan selain menjaringkan empat gol dan mencipta tujuh bantuan gol.

Dia juga mencipta sensasi untuk Argentina pada Piala Dunia 2022 di Qatar apabila dinobatkan sebagai pemain muda terbaik kejohanan itu.

Perpindahan Fernandez menjadikan jumlah perbelanjaan Chelsea untuk membeli pemain sejak pengambilalihan oleh kumpulan pelaburan yang diketuai oleh Todd Boehly dan Clearlake Capital tahun lalu kepada lebih daripada £500 juta (RM2.6 bilion).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!