Saksi dakwa dengar bunyi letupan, kaca pecah

Gambar kiri: Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap berdekatan pintu masuk rumah di sebuah pangsapuri di Flora Damansara pada Selasa. Gambar kanan: Keadaan kebakaran sebuah unit pangsapuri di Flora Damansara di sini, pada Selasa. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Rabu
Gambar kiri: Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap berdekatan pintu masuk rumah di sebuah pangsapuri di Flora Damansara pada Selasa. Gambar kanan: Keadaan kebakaran sebuah unit pangsapuri di Flora Damansara di sini, pada Selasa. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Rabu
A
A
A

PETALING JAYA - Saksi mendakwa terdengar bunyi letupan yang kuat serta bunyi kaca pecah, sebelum seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah unit pangsapuri di Flora Damansara dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, saksi berkenaan cuba untuk masuk ke dalam rumah mangsa, namun gagal kerana api marak.

"Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima makluman berkaitan kejadian itu daripada MERS 999 pada jam 9.12 malam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Fakhrudin berkata, kebakaran berlaku di sebuah unit pangsapuri di tingkat 21.

"Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemukan dalam keadaan tertiarap berdekatan pintu masuk rumah dipercayai cuba menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, pasukan Bomba dan Penyelamat berhadapan kesukaran memadamkan kebakaran pada awalnya kerana masalah tekanan air yang rendah.

"Sejurus api berjaya dipadamkan, pemeriksaan dalam rumah mendapati hampir 90 peratus terbakar.

"Pasukan Forensik dari Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras telah mengambil dua sampel iaitu cebisan baju dan kulit mayat bagi membantu siasatan," ujarnya.

Mohamad Fakhrudin berkata, kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR), mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat

"Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Sarjan Ahmad Sabran Abdullah di talian 010-5585040 bagi membantu siasatan," katanya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah unit pangsapuri itu

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis dilaporkan berkata, Pusat Gerakan Operasi Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.13 malam.

Seramai 25 anggota dan pegawai serta lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara, BBP Kota Anggerik, BBP Sungai Buloh, BBP Seksyen 7 dan BBP Puchong bergegas ke lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!